Banjir makin teruk, penduduk desak kerajaan negeri Kelantan bertindak - Utusan Malaysia

Banjir makin teruk, penduduk desak kerajaan negeri Kelantan bertindak

PENDUDUK berhimpun secara aman mendesak kerajaan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi banjir di sekitar Sungai Lancang, Rantau Panjang, Kelantan hari ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Lebih 150 mangsa banjir dari beberapa kampung di sini berhimpun mendesak kerajaan negeri mencari jalan penyelesaian terhadap masalah banjir yang makin teruk dan kerap melanda kediaman mereka.

Mereka mendakwa, bencana alam tersebut semakin teruk akibat Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban) Fasa Satu yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Antara kawasan yang teruk terjejas ialah Kampung Tersang, Tasek Bakong, Padang Licin, Kusar dan Gual Periok.

Dalam perhimpunan aman selama satu jam yang dibuat di tapak PLSB Kesban berhampiran Sungai Lancang di sini, penduduk mencadangkan pihak berkuasa membina lebih banyak pintu air bagi mengatasi masalah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Banjir Penduduk Rantau Panjang, Norhisham Abdullah berkata, jika pintu air tidak dibina, banjir luar biasa yang melanda kawasan itu pada Disember dan Februari lalu dikhuatiri berulang.

“Projek PLSB Kesban yang melibatkan jarak sejauh 30 kilometer bermula dari Tok Uban sehingga ke Sungai Lanchang didapati tidak mempunyai pintu untuk mengalirkan air keluar dari kawasan ini.

“Sebelum projek ini berjalan, kami tidak pernah berdepan banjir teruk sehingga rumah ditenggelami air setinggi paras bumbung. Tidak cukup itu, ada rumah telah dihanyutkan arus,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Norhisham memberitahu, situasi itu menyebabkan penduduk resah dan rungsing setiap kali hujan lebat kerana bimbang banjir besar berulang sehingga berdepan kerugian besar.

Sementara itu, penduduk Kampung Tersang, Mohd. Ariffin Ismail berkata, banjir luar jangka yang melanda kawasan rumahnya pada hujung Februari lalu disifatkan paling dahsyat dalam sejarah sepanjang dia menetap di situ.

“Jika pintu air tidak diwujudkan berkemungkinan besar Kampung Tersang akan ‘lenyap’ dari Rantau Panjang kerana tenggelam dek banjir. Perhimpunan kami hari ini bukan bersifat politik, kerana semua jenis fahaman politik ada di sini untuk bergabung bagi meluahkan isi hati penduduk kerana kami trauma dengan banjir yang tidak berkesudahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN