Banjir: ATM bina jambatan bailey di SSJM

Banjir: ATM bina jambatan bailey di SSJM

KERJA-kerja pemasangan jambatan bailey giat dijalankan bagi memudahkan laluan keluar masuk pekerja TNB ke kawasan SSJM susulan jambatan yang runtuh akibat banjir, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membina jambatan bailey di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kampung Jenagor, Hulu Terengganu, dekat sini bagi menggantikan jambatan yang runtuh akibat banjir, baru-baru ini. 

Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri berkata, kerja-kerja pemasangan jambatan sepanjang 30 meter yang mengambil masa tiga hari itu dijangka siap esok. 

Katanya, inisiatif menerusi Projek Jiwa Murni Tentera Darat Malaysia (TDM) itu bertujuan menghubungkan laluan keluar masuk pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke kawasan SSJM yang terputus hubungan dan terpaksa menggunakan bot sebagai alternatif.

“Jambatan sedia ada runtuh pada 27 Februari lalu akibat hujan berterusan selama seminggu. 

“Pemasangan jambatan bailey dikendalikan Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja (MK RAJD) 2 Divisyen yang melibatkan seramai lima pegawai dan 64 anggota dari Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Muhammad Huzaimi berkata, TDM sentiasa komited dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat sekali gus berterima kasih kepada kerajaan negeri dan semua agensi yang terlibat secara  dalam membantu pemasangan jambatan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN