SIBU: Seorang lelaki warga emas berusia 50 tahun yang menyerah diri selepas membunuh rakannya ketika khusyuk meminum minuman keras di sebuah rumah kosong semalam disahkan sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Collin Balat berkata, suspek berkenaan berasal dari Batang Mandai, Kalimantan Timur, Indonesia mengaku tinggal di negara ini selama 20 tahun tanpa dokumen sah.
“Berdasarkan pengakuan suspek, selepas minum minuman keras jenis langkau, berlakunya pertengkaran sesama mereka sehingga menyebabkan rakannya (mangsa) cedera dan terbunuh di sebuah rumah usang di Jalan Camar, Sibu pada Rabu lalu.
“Bagaimanapun, suspek menyerah diri pada hari sama sekitar pukul 4 petang di Balai Polis Sibu Sentral, di sini,” katanya.
Tambah Collin, pihak polis mengesahkan mangsa yang terbunuh berusia 44 tahun, berasal dari Roban, Betong.
Suspek kini direman selama 14 hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN