Ambil dulu barang niaga, masuk 'buku 555' di Baloy

Ambil dulu barang niaga, masuk ‘buku 555’ di Baloy

YEN CY (empat dari kanan) memotong reben pada majlis perasmian gudang pertama Baloy di negeri ini di Bukit Senjuang, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Syarikat peruncitan Baloy Sdn. Bhd. (Baloy) menyediakan buku 555 untuk membantu para peniaga yang mengalami masalah kewangan akibat pandemik, memulakan semula perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yen CY berkata, kaedah ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) itu menggunakan mekanisme sama seperti diamalkan peniaga runcit suatu ketika dahulu, yang membenarkan pelanggan berhutang atas sikap timbang rasa. 

Katanya, para peniaga dibenarkan mengambil dahulu barang keperluan perniagaan bernilai antara RM1,000 sehingga maksimum RM20,000 dan wajib membayarnya pada hujung bulan.

“Kaedah ini sama sahaja seperti zaman dahulu, cuma bezanya Baloy menggunakan aplikasi servis tanpa tunai myIOU, yang mana nilai kredit sebanyak RM1,000 sehingga RM20,000 akan diberikan kepada pemohon. 

“Dengan kemudahan buku 555 ini, kami berharap dapat membantu para peniaga yang tidak mempunyai modal membuka semula perniagaan mereka dan kembali pulih secara berperingkat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian gudang pertama syarikat itu di negeri ini di Bukit Senjuang.

Mengulas lanjut mengenai permohonan BNPL, Yen menjelaskan, pemohon hanya perlu memuat turun aplikasi disediakan dan melengkapkan butiran diperlukan.

“Bagaimanapun, bagi permohonan sehingga RM20,000, pemohon perlu menghantar dokumen pendaftaran perniagaan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tidak mempunyai rekod senarai hitam atau diisytihar bankrap. 

“Setakat ini kita telah membantu kira-kira 100 peniaga menerusi kemudahan ini khususnya mereka yang terlibat dalam perniagaan restoran dan gerai,” jelasnya. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, setakat ini Baloy telah membuka 14 buah kedai runcit di seluruh Melaka sejak 2020 dan menyasarkan membuka 26 buah lagi pada tahun ini termasuk di Selangor dan negeri Pantai Timur. 

“Baloy juga menawarkan barangan dengan harga 20 peratus lebih rendah berbanding pasaran kerana bekalan diperoleh adalah terus dari pembekal kilang dan tidak melalui orang tengah,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya