Alumni terus bawa nama baik Unimap - Raja Muda Perlis

Alumni terus bawa nama baik Unimap – Raja Muda Perlis

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL (tengah) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Ke-15 di Dewan Ilmu, Kampus Alam Unimap Pauh Putra, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Universiti Malaysia Perlis (Unimap) sentiasa berbangga dengan semua alumninya, tidak kira di mana mereka berada atau berkhidmat selepas tamat pengajian.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, salah satu bentuk sokongan kepada reputasi universiti adalah dengan menyuarakan pandangan positif daripada alumni.

Titah baginda merangkap Canselor Unimap, alumni boleh bertindak sebagai ‘orang tengah’ antara Unimap dan industri  sama ada di dalam atau luar negara. 

“Sesungguhnya alumni adalah amat penting kepada Unimap. Teruskanlah lakukan yang terbaik untuk diri, keluarga dan masyarakat.

“Dalam pada itu, bawalah nama baik universiti ini ke persada dunia dan Unimap akan sentiasa menyokong,” titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan sidang ketujuh Istiadat Konvokesyen Unimap ke-15 di Dewan Ilmu, Kampus Alam Unimap, Pauh Putra di sini hari ini.

Pada istiadat tersebut, sebanyak 276 graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) bagi Kejuruteraan Mikroelektronik, Kejuruteraan Elektronik, Kejuruteraan Fotonik, Kejuruteraan Komputer, Kejuruteraan Perhubungan serta Kejuruteraan Rangkaian Komputer menerima penganugerahan masing-masing daripada Tuanku Syed Faizuddin.

Seterusnya Tuanku Syed Faizuddin bertitah, penambahbaikan kurikulum pengajian fakulti juga boleh disumbang melalui idea dan kepakaran para alumni. 

“Kembalilah ke Unimap dari masa ke semasa, bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan di universiti ini dan sentiasalah menyayangi universiti kita semua ini,” titah baginda lagi. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN