Ahli KWSP tiada masalah kewangan dinasihat tidak keluarkan simpanan

Ahli KWSP tiada masalah kewangan dinasihat tidak keluarkan simpanan

AMINUDDIN Harun (kiri) dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban, hari ini. - FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak mempunyai sebarang masalah kewangan dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan wang simpanan persaraan mereka itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peluang untuk mengeluarkan simpanan KWSP sebanyak RM10,000 seperti diumumkan kerajaan hari ini perlulah diambil oleh mereka yang benar-benar memerlukan sahaja.

“Saya mahu menasihatkan agar penyimpan KWSP yang amat memerlukan seperti menghadapi masalah banjir atau mempunyai masalah kewangan sahaja untuk mengeluarkan wang tersebut.

“Bagi mereka yang masih mempunyai kerja, tiada masalah pemotongan gaji janganlah ambil. Penyimpan akan menggunakan wang simpanan tersebut pada hari tua dan perlu bersedia lebih awal.

“Ada statistik menunjukkan 70 peratus penyimpan KWSP kaum Melayu paling ramai yang mempunyai simpanan di bawah RM10,000 jadi perlu bijaksana mengeluarkan wang tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan pencarum membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, tambah Aminuddin, KWSP juga telah mengumumkan dividen 2021 yang baik kepada semua ahlinya dan perkara itu juga perlu dipertimbangkan.

“Dividen KWSP juga agak baik. Saya berharap penyimpan bijaksana untuk menghadapi hari tua mereka dengan mengamalkan pengurusan kewangan yang baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN