PETALING JAYA: Zaidi Kanapiah atau popular dipanggil Datuk Addy Kana akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini membabitkan kes pengubahan wang haram yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dua tahun lalu.
Ahli perniagaan itu dibawa ke mahkamah selepas dia gagal melaporkan transaksi yang dikaitkan dengan elemen rasuah.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, selain pendakwaan, SPRM juga dalam proses melucutkan harta-harta milik Addy yang dianggarkan bernilai RM1 juta.
“Terdahulu esok (hari ini) Addy Kana akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pukul 9 pagi,” kata sumber semasa dihubungi.
Pada 2 dan 3 Oktober 2020, SPRM menahan ahli perniagaan, Goh Leong Yeong atau lebih dikenali sebagai Alvin Goh dan Addy kerana disyaki terlibat dengan aktiviti Macau Scam dan perjudian dalam talian.
Sindiket penipuan
Siasatan mendapati, kedua-dua lelaki yang menjalinkan kerjasama dengan sindiket penipuan di luar negara itu menyasarkan mangsa yang berada di China.
Susulan penahanan Alvin dan Addy, SPRM kemudian mengambil keterangan beberapa selebriti terkenal selain menahan beberapa pegawai dan anggota polis bagi membantu siasatan berhubung kegiatan jenayah mereka.
Hasil siasatan ketika itu, Alvin dan Addy serta dua lagi anggota polis ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama dua tahun.
Alvin ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor bersama seorang lagi anggota polis manakala Addy ditahan di Penjara Pokok Sena, Kedah manakala seorang lagi anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor ditahan di Penjara Bentong, Pahang.
POCA
Pada 27 April 2021, Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur memerintahkan Addy dan dua anggota polis yang ditahan di bawah POCA dibebaskan serta-merta.
Keputusan itu dibuat panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang sebulat suara membenarkan rayuan habeas corpus seterusnya membebaskan mereka daripada tahanan di bawah POCA.
Dalam pada itu, pada 9 Disember tahun lalu juga, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Addy membayar cukai pendapatan berjumlah RM1,42 juta kepada kerajaan Malaysia selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman yang difailkan kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi sistem mahkamah, plaintif mendakwa Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019, defendan telah ditaksirkan dengan taksiran tambahan masing-masing berjumlah RM380,025.73 dan RM918,079.23.
Mengenai Alvin pula, pada 12 April tahun lalu, ahli perniagaan itu dan adiknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tujuh pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2.14 juta.
Mereka kini dalam proses dibicara di mahkamah sebelum dibebaskan dengan ikat jamin RM200,000 setiap seorang.- UTUSAN










