SEREMBAN: Ada parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka tidak dapat menamakan calon Menteri Besar mereka meskipun pilihan raya itu berbaki lima hari berkempen sebelum hari pengundian pada Sabtu ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu pastinya menimbulkan persoalan pengundi ketika Barisan Nasional (BN) sudah awal menamakan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad bakal dilantik Menteri Besar sekiranya BN menang dalam PRN Johor.
“Ada yang tidak akan menamakan langsung calon mereka, tidak tahu kenapa. Tidak apalah, kita tunggu sahaja mereka buat mesyuarat nanti,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) Kali Ke-19 di Nilai di sini hari ini.
Sehingga kini Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih belum menamakan calon Menteri Besar masing-masing.
Dalam pada itu, mengulas mengenai hasrat Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat berhubung isu Felda, Mahdzir menyifatkan ketika ini bukanlah waktunya.
“Tidak perlu debat, mahu tegakkan apa? Yang penting sekarang rakyat. Ketika ini perkara itu tidak sesuai dan seharusnya memberi ruang kepada pengundi untuk 12 Mac ini,” katanya. – UTUSAN