SEREMBAN: Sebanyak 97 laporan membabitkan akaun Telegram digodam diterima polis di negeri ini dalam tempoh enam bulan sehingga Februari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Superintenden Aibee Abd. Ghani berkata, akaun Telegram yang digodam berkenaan digunakan oleh pelaku untuk menghubungi rakan mangsa bagi tujuan meminjam wang.
Pelaku kemudian memberi nombor akaun bank bagi tujuan tersebut.
Menurutnya, bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 10 kertas siasatan dibuka melibatkan nilai kerugian sebanyak RM16,050.
“Pada tahun lalu, sebanyak 22 kertas siasatan dibuka dengan nilai kerugian sebanyak RM98,100. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu dengan jalan menyamar sebagai rakan dan Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer atas kesalahan menggodam.
“Setakat ini, polis mengenapasti sebanyak 55 akaun pelbagai bank tempatan yang digunakan oleh sindiket dan berdasarkan siasatan, ia melibatkan sindiket yang beroperasi di luar negara susulan wang berkenaan akan dipindahkan ke luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN