KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis merampas 446 kilogram ketulan mampat ganja bernilai RM2.23 juta dalam keadaan terapung di dua lokasi berasingan di perairan Kuala Perlis semalam.
Modus operandi terbaharu sindiket dadah tersebut dikatakan membuang ketulan mampat ganja ke laut sebelum dikutip ahli sindiket tempatan yang bersedia dengan bot.
Ganja tersebut dipercayai dibawa masuk oleh bot dari Thailand dan ahli sindiket di sini pula akan mengambilnya di tengah laut dipercayai untuk pasaran Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Saliza Ahmad berkata, rampasan pertama kira-kira pukul 10.30 pagi di kedudukan 4.4 batu nautika barat muara Kuala Perlis manakala rampasan kedua pula di kedudukan 2.2 batu nautika barat daya muara Kuala Perlis selang 42 minit kemudian.
Katanya, rampasan tersebut dibuat setelah anggota yang menjalankan rondaan rutin Op Aman menemukan beberapa bungkusan plastik hitam yang mencurigakan di kedua-dua lokasi berkenaan.
“Bungkusan ini dipercayai terapung sejak tengah malam atau awal pagi memandangkan keadaan ketulan tersebut yang masih belum dimasuki air. Jarak penemuan pertama dengan kedua adalah sekitar 2.5 batu nautika.
“Modus operandi mereka (sindiket) adalah buang ke laut dan ahli sindiket dari negara ini akan datang kutip. Kedua, mungkin mereka dapat kesan ada penguat kuasa, jadi mereka terus buang sahaja bungkusan ini ke laut,” katanya dalam sidang akhbar di Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, kesemua 446 ketulan ganja mampat dengan berat satu kilogram setiap satu itu ditemukan dalam 18 bungkusan guni plastik berwarna putih.
Menurutnya, jika kesemua ganja tersebut terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh 44,600 orang penagih dadah.
“Rampasan ini merupakan yang terbesar bagi Zon Maritim Kuala Perlis dan juga rampasan terbesar bagi negeri Kedah dan Perlis sejak awal tahun hingga ini.
“Kesemua hasil rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN