GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan empat pekerja sangkar ikan kerana tidak mempunyai pengenalan diri di perairan Pulau Gedong, di sini semalam.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan dilaksanakan susulan pemeriksaan rutin anggota penguat kuasa ke atas sangkar ikan di kedudukan 0.7 kilometer Timur Pulau Gedong, kira-kira pukul 12.10 tengah hari.
“Empat pekerja sangkar ikan itu adalah tiga lelaki warga Myanmar dan seorang wanita berusia antara 25 tahun hingga 28 tahun.
“Mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c ) Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di Malaysia tanpa memiliki pas yang sah,” katanya. – UTUSAN










