IPOH: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di dua daerah di negeri ini hari ini masing-masing di Muallim dan Hilir Perak akibat banjir kilat yang melibatkan 186 mangsa berikutan hujan lebat petang inii.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Muallim berkata, kejadian banjir di Muallim melibatkan 168 penduduk daripada 26 keluarga dan mereka kini ditempatkan Dewan Sekolah Menengah Khir Johari.
“Banjir berpunca daripada hujan lebat selama lebih dua jam petang tadi. Ketika ini pemantauan masih dilakukan di kawasan kejadian dan air masih belum surut,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak berkata, banjir di daerah itu melibatkan 18 penduduk daripada empat buah keluarga dari Batu 7 1/2 Lorong Mesra, Teluk Intan.
“Mangsa kini ditempatkan di Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian banjir di daerah Muallim berlaku pada kira-kira pukul 5.30 petang ini.
Katanya, ia melibatkan kawasan antaranya Taman Bernam Perdana, Taman Segar, Taman Seri Tanjung, Rumah Makan Muallim, Kampung Berop A, Kampung Berop B dan Ketoyong.
“Limpahan air mengakibatkan air naik setinggi lebih kurang tiga kaki di kawasan tersebut.
“Pemantauan mendapati Jalan Slim Lama juga dilimpahi air menyebabkan hanya satu lorong jalan sahaja yang boleh dilalui oleh kenderaan.
“Polis mengatur gerak seramai 16 pegawai dan anggota untuk membuat rondaan dan pemantauan di kawasan banjir dengan dibantu oleh agensi lain iaitu Jabatan Pertahanan Awam (JPA), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Rela,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN