171 mati dalam tahanan sejak 2020

171 mati dalam tahanan sejak 2020

ISMAIL MOHAMED SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 171 jumlah kematian dalam tahanan dicatatkan melibatkan tahanan di bawah jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Penjara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, jumlah itu meliputi kematian dalam tahanan polis (33), Jabatan Imigresen (113) dan Jabatan Penjara (25).

“Bagi tempoh Januari hingga Disember 2020, jumlah kematian dalam tahanan polis melibatkan 16 tahanan dengan kematian tertinggi direkodkan di Pahang dengan sembilan kematian, diikuti dengan Terengganu sebanyak dua kematian dan Perlis, Perak, Melaka, Johor dan Sabah masing-masing satu kematian.

“Bagi Januari hingga Disember 2021, jumlah kematian dalam tahanan polis melibatkan 17 orang dengan kematian tertinggi direkodkan di Selangor dengan tujuh kematian, diikuti dengan Pahang sebanyak enam kematian, Johor dengan dua kematian dan Kedah dan Perak masing-masing satu kematian,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan berhubung jumlah kematian dalam tahanan PDRM, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lain-lain agensi kerajaan setakat ini.

Ismail menjelaskan, sejumlah 113 kematian tahanan direkodkan di Depot Imigresen untuk tempoh Januari 2020 hingga Jun 2021.

“Tahun 2020, seramai 53 orang, tahun 2021 (sehingga Jun 2021), seramai 60 orang manakala sehingga 15 Mac 2022, terdapat 27 kematian disebabkan oleh Covid-19,” katanya.

Di samping itu, katanya, jumlah kematian dalam penjara melibatkan 13 banduan untuk tempoh Januari hingga Disember 2020.

“Jumlah kematian tertinggi direkodkan di Penjara Kluang sebanyak tujuh kematian, diikuti dengan Penjara Sungai Udang sebanyak dua kematian, selebihnya satu kematian di Penjara Sungai Buloh, Penjara Kota Kinabalu, Penjara Taiping dan Penjara Pokok Sena.

“Bagi tempoh Januari hingga Disember 2021, jumlah kematian dalam penjara melibatkan 12 kematian banduan dengan jumlah kematian tertinggi direkodkan di Penjara Kluang sebanyak tujuh kematian. Masing-masing satu kematian di Penjara Sungai Udang, Penjara Simpang Renggam, Penjara Bentong, Penjara Wanita Kajang dan Penjara Satelit Kuala Kangsar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jumlah kematian di lokap SPRM perlu dirujuk kepada Jabatan Perdana Menteri kerana SPRM bukan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Di sebalik jumlah kematian tersebut, Ismail berkata pihaknya telah mengambil langkah-langkah pencegahan sewajarnya bagi mengatasi isu kematian dalam tahanan.

“PDRM telah menyediakan garis panduan standard (SOP) yang lebih ketat termasuk dalam menguruskan tahanan sakit, meningkatkan kekerapan rondaan di sel pada waktu malam, serta penambahan anggota yang menguruskan tahanan,” katanya.

Selain itu, katanya, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 684 lokap sedang dilaksanakan bagi mengawasi dan memantau orang kena tahan (OKT) di sel-sel lokap demi memastikan kejadian tidak diingini berlaku dalam lokap.

“Mulai Januari 2022, semua kes kematian dalam tahanan polis disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bagi memastikan ketelusan siasatan dan tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan salahlaku tatatertib. Kes-kes berkaitan bukan sahaja disiasat di bawah aspek jenayah tetapi juga disiasat dari aspek tatatertib,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya