puasa 3 April

1 Ramadan dijangka jatuh pada 3 April

RAJAH jangkaan kedudukan anak bulan Ramadan pada 1 April 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam di Malaysia dijangka mula berpuasa Ramadan 1443 Hijrah pada 3 April ini susulan anak bulan mungkin sukar kelihatan pada petang 29 Syaaban.

Demikian pandangan seorang pakar ilmu falak terkenal tanah air, Hanafiah Abd. Razak ketika dihubungi Utusan Malaysia dengan berpandukan hisab atau hitungan pada tarikh tersebut.

“Anak bulan agak sukar dilihat pada hari rukyah petang 1 April ini dan berdasarkan kiraan, ia turut belum cukup matang lagi untuk kelihatan serta tidak pun memenuhi kriteria,” jelasnya.

Unjuran itu katanya, dengan merujuk kriteria baharu dipersetujui oleh Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) yang dipakai negara ini mulai 9 Ogos 2021.

Empat negara serantau itu menetapkan ketinggian anak bulan ketika terbenam matahari tidak kurang 3 darjah dan jarak lengkung matahari ke pusat bulan tidak kurang 6 darjah 24 minit.

Hanafiah yang juga Imam Masjid Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor menggunakan Pulau Perak di Kedah sebagai contoh lokasi hitungan anak bulan Ramadan untuk pengiraan.

Menurut beliau yang juga adalah panel falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pulau kecil terletak di Selat Melaka itu dipilih kerana ia titik kedudukan paling barat negara ini.

“Ketika hari rukyah, matahari terbenam pada 7.33 malam manakala bulan terbenam pukul 7.44 malam, dengan anak bulan Ramadan pula berada di atas ufuk kaki langit barat,” katanya.

Ia muncul selama 11 minit iaitu tempoh masa agak sukar untuk kelihatan anak bulan dan usia ketika waktu terbenam matahari ialah lima jam lima minit serta belum pun lagi cukup matang.

Hitungan tersebut kata beliau, dengan mengambil kira bahawa anak bulan Ramadan tahun ini dijangka mengalami al-ijtima’ atau lahir pada pukul 2.28 petang di lokasi pulau berkenaan.

Justeru ujar Hanafiah, berdasarkan kiraannya, ketinggian anak bulan dari ufuk ialah satu darjah 45 minit, manakala jarak lengkung matahari ke pusat bulan pula ialah dua darjah 54 minit. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN