Warisan minta rakyat Johor berani buat perubahan

Warisan minta rakyat Johor berani buat perubahan

MOHD. Shafie Apdal dan Mohamed Ridza Busu (tengah) selepas penamaan calon Warisan bagi kerusi DUN Permas di Stadium Tertutup MBPG, Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Parti Warisan yang bertanding buat kali pertama di Semenanjung meminta  rakyat Johor perlu berani untuk mempamer kuasa mereka dengan menukar kerajaan terdahulu kepada kerajaan baharu yang lebih bersih, berintegriti dan berwibawa.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perubahan itu boleh dilakukan bermula dengan medan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai langkah permulaan. 

Kata Ahli Parlimen Semporna itu, rakyat perlu tahu bahawa mereka ‘memegang kunci’ bagi memilih wakil rakyat atau kerajaan yang akan memerintah dalam temoh lima tahun akan datang.

Katanya, PRN Johor adalah titik permulaan untuk mengubah pentabiran negeri sebelum ia diperluas dan direalisasikan ke peringkat Persekutuan menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Jika rakyat inginkan ubah pemerintahan, ia harus bermula di negeri ini. Rakyat perlu tahu bahawa mereka mampu mengubah landskap politik dan rakyat perlu bangkit sekiranya ingin melakukan perubahan.

“Rakyat jangan tahu merungut atau mengkritik sahaja, sebaliknya perlu berani untuk melakukan perubahan. Kuasa itu bukan terletak pada UMNO, Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) sebaliknya rakyat yang mampu mengubah landskap politik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Mohamed Ridza Busu, 54, di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini hari ini.

Kerusi DUN Permas menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan Mohamed Ridza, Tazul Arifin Nasri (Perikatan Nasional); Baharudin Mohd Taib (BN); Syed Othman Syed Abdullah (PH) dan Mahaya Ahad (Parti Pejuang Tanah Air).

Selain kerusi DUN Permas, Warisan turut meletakkan calon bagi merebut kerusi Pekan Nenas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya dan Bukit Batu.

Ditanya mengenai peluang Warisan yang bertanding di kerusi DUN Permas, Mohd. Shafie berkata, pihaknya yakin parti berpotensi untuk menang di kerusi yang ditandingi.

Katanya, walaupun Warisan adalah sebuah parti baharu, ia mampu memberi impak seperti yang dilakukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterima dan diberikan mandat oleh rakyat pada PRU-14.

“Begitu juga dengan Warisan yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya di luar Sabah iaitu negeri kelahiran parti itu. Saya percaya Warisan mampu mencipta kejutan serta memberi saingan. Kita sudah ada jentera dan ahli di peringkar akar umbi di negeri ini sekali gus menjadi persiapan awal parti mengukuhkan sokongan menghadapi PRU-15,” ujarnya. 

Diminta mengulas mengenai dakwaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa Warisan menyertai PRN Johor tanpa sebarang agenda, beliau menjelaskan bekas Menteri Johor itu jauh ketinggalan.

“Berulang kali saya katakan sebelum ini bahawa agenda kita adalah untuk membawa perubahan dalam landskap politik negeri dan negara. Mungkin Khaled Nordin hanya nampak peluang projek dan jawatan sahaja,” dakwanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya