Warisan dijangka bertanding PRN Johor, pengumuman dalam waktu terdekat - Utusan Malaysia

Warisan dijangka bertanding PRN Johor, pengumuman dalam waktu terdekat

SEBAHAGIAN daripada bekas ahli Bersatu Bahagian Tanjung Piai memberi sokongan dan menyertai Warisan pada sidang akhbar di Pekan Nanas, Pontian. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Parti Warisan Sabah (Warisan) dijangka membuat keputusan dalam tempoh terdekat berhubung keputusannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan tidak lama lagi.

Naib Presidennya, Datuk Junz Wong berkata, pihaknya telah siap melakukan kajian lapangan khususnya di peringkat akar umbi dan laporan tersebut akan diserahkan kepada Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafei Apdal, hari ini.

“Kita sudah buat penilaian dan laporan akhir akan disiapkan menjelang esok (hari ini). Presiden parti kemudiannya akan membuat pengumuman berhubung perkara tersebut.

“Selain itu, Warisan juga akan mengadakan satu majlis pelancaran parti di Johor pada 15 Februari ini dan akan ada pengumuman besar dibuat, jadi kita tunggu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pengumuman keluar ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) beramai-ramai di Pekan Nanas, di sini semalam.

Dalam program itu, seramai lima ketua cawangan, ahli jawatankuasa dan lebih 300 ahli Bersatu Bahagian Tanjung Piai bertindak keluar parti serta merta dan menyertai Warisan.

Sementara itu, Junz memberitahu, pihaknya memaklumkan tiada sebarang perbincangan dilakukan membabitkan kerjasama dengan mana-mana pihak sekiranya Warisan terlibat dalam PRN Johor.

“Buat waktu ini memang tiada kerana kita pun belum umumkan akan bertanding dalam PRN Johor atau tidak, tapi kita sedia untuk bekerjasama. Kita sedia berunding.

“Saya tidak nafikan kita juga sedang giat meningkatkan jumlah ahli di semua negeri, khususnya di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Johor.

“Sasaran utama kita adalah untuk menjadi kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kita tidak mahu lagi menjadi pembangkang,” jelasnya sambil memaklumkan setakat tahun lalu, Warisan sudah memiliki 85 cawangan di seluruh Semenanjung dengan lebih 20,000 keahlian berdaftar. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya