PETALING JAYA : Memperkenalkan peraturan ‘wajib booster’ atau dos penggalak untuk masuk ke masjid ialah peraturan yang agak tergesa-gesa yang dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau berharap penilaian semula dapat dibuat terhadap keputusan berkenaan.
“Memperkenalkan peraturan ‘wajib booster’ untuk masuk masjid ialah peraturan yang agak tergesa-gesa. Harap perlu buat penilaian semula.
“Adakah wujud nasihat dari Kementerian Kesihatan sebelum peraturan ini diperkenalkan?. Wujudkah kajian risiko dan sebagainya?,” soal Ahmad Fadhli dalam hantaran di laman Facebooknya.
Sebelum ini terdapat ketetapan baharu dikeluarkan JAIS iaitu hanya jemaah lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak dibenarkan hadir menunai solat Jumaat di masjid seluruh Selangor bermula 25 Februari.
Ketetapan terkini itu diedarkan secara dalaman oleh JAIS kepada pengurusan masjid, surau dan musolla negeri itu.
Ketetapan surat edaran bertarikh 21 Februari itu menyatakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, berkenan mengekalkan ketetapan solat Jumaat, solat lima waktu dan program pengimarahan yang dikeluarkan JAIS bertarikh 20 Januari lalu.
Bagaimanapun, susulan perkembangan terkini penularan Covid-19 dan kebimbangan baginda akan berlaku situasi lebih buruk dan menjejaskan aktiviti di masjid, surau dan musolla semasa dan selepas mendapat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, baginda berkenan agar pentadbir masjid, surau dan musolla di seluruh Selangor mempertingkatkan penguatkuasaan.
Antara perkara yang ditekankan dalam edaran itu adalah hanya jemaah yang menerima vaksin lengkap dua dos dan vaksin penggalak dibenarkan hadir bagi menunaikan solat Jumaat. –UTUSAN