PUTRAJAYA: Inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KSM) melancarkan pautan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) adalah amat baik bagi meningkatkan kecekapan dalam pemprosesan dan pengurusan pekerja asing ke Malaysia.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. Sukumaran Nair berkata, namun, pihak majikan mendakwa mereka tidak mempunyai maklumat mengenai cara pengoperasian pautan berkenaan.

“Tiada sebarang pengumuman mengenai penggunaan pautan pengambilan ini oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau KSM.
“Majikan dan ejen pengambilan berdaftar swasta tidak mempunyai maklumat tentang cara mengendalikan sistem ini walaupun FWCMS wujud pada era 2016 hingga 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas berhubung kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang mengesahkan bahawa pihaknya menerima sebanyak 111,807 permohonan pekerja warga asing melibatkan lima sektor utama selepas mula dibuka pada 15 Februari lalu.
Permohonan itu dibuat oleh majikan untuk pekerja warga asing bagi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan penggajian pekerja warga asing.
Sukumaran berkata, sistem FWCMS kini diselenggara dan dikendalikan oleh syarikat yang sama iaitu Bestinet Sdn. Bhd. melalui Jabatan Imigresen.
Menurut beliau, pihaknya amat terkejut apabila syarikat tersebut yang merupakan syarikat kontroversi kerana terlibat skandal pengambilan warga asing muncul semula kali ini dalam program pengambilan semasa dengan pautan dan sistem yang sama untuk semua permohonan sehingga kelulusan untuk mengambil pekerja asing ke dalam negara.
“Sejak permulaan permohonan yang dibuka secara rasmi pada 15 Februari lalu, sehingga kini tiada kelulusan rasmi diberikan kepada mana-mana majikan walaupun sistem ini kerap mengalami gangguan setiap hari semasa penggunaan untuk membuat permohonan,” katanya.
Untuk rekod, FWCMS dilaksanakan pada tahun 2013 secara ‘proof of concept’ (pembuktian konsep) bagi membuktikan kepada kerajaan Malaysia bahawa sistem ini boleh membanteras pemerdagangan manusia, penipuan dokumen, menjaga kebajikan pekerja dan menjaga kepentingan majikan.
Dalam hal itu, PAPSMA menggesa supaya terdapat keselarasan antara kementerian untuk menjayakan program ini dan memastikan pekerja tiba dengan cepat dan selamat untuk memenuhi ribuan kekosongan tenaga kerja asing dalam industri dan pasaran kerja tempatan.
Katanya, kelewatan itu mungkin mengakibatkan kerugian berbilion ringgit dalam pengeluaran dan strategi status eksport negara yang akhirnya boleh memusnahkan ekonomi Malaysia yang tidak menentu ketika ini. UTUSAN