MELAKA: Kira-kira 300 nelayan di Pengkalan Tanjung Kling dihimpit keresahan apabila mata pencarian mereka terjejas berikutan insiden tumpahan minyak daripada kapal yang berlabuh di Pelabuhan Tanjung Bruas dekat sini.
Kejadian didakwa berlaku pada malam Khamis lalu, di mana sebuah kapal yang berlabuh dengan sengaja membuang minyak mengakibatkan perairan dekat situ diselaputi tompok-tompok minyak, hingga berlakunya pencemaran.
Malah mereka sempat merakamkan kejadian tersebut dan turut tular di media sosial.
Ketua Komuniti Nelayan Pengkalan Tanjung Kling, Aziz Japar berkata, nelayan yang turun ke laut keesokan harinya mendapati, pukat hanyut, rawai dan jaring diselaputi tompokan hitam dipercayai tumpahan minyak daripada kapal berkenaan.
Menurutnya, ini bukanlah kejadian pertama, sebaliknya sudah kerap berlaku di Pelabuhan Tanjung Bruas.
“Aduan telah dibuat kepada Jabatan Laut dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka pada malam kejadian tumpahan minyak didakwa oleh nelayan. Kejadian tumpahan minyak ini telah menjejaskan pendapatan nelayan dan kita sukar mendapat tangkapan jika air tercemar.
“Daripada sehari boleh dapat RM100, tetapi sejak beberapa hari lalu dapatlah antara RM30 ke RM40 sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Kling, Khairulazni Baharuddin berkata, beliau telah memaklumkan JAS sejurus menerima aduan daripada nelayan.
“Saya dah minta JAS dapat memberi peringatan tegas kepada pemilik kapal yang berurusan di Pelabuhan Tanjung Bruas agar tidak sewenang-wenangnya membuang minyak di perairan dekat sini.
“Bila berlaku tumpahan minyak, pendapatan harian kira-kira 300 nelayan di sini terjejas teruk sebab hasil tangkapan sangat kurang. Bayangkan daripada RM100 boleh diperoleh setiap hari tetapi kali ini hanya dapat hasil dijual antara RM30 hingga RM40 sahaja,” katanya. – UTUSAN