Tiga negara pengeluar getah kena sepakat kawal harga - Utusan Malaysia

Tiga negara pengeluar getah kena sepakat kawal harga

MOHD. Salim Mohd. Sharif (belakang, tengah) dalam program sumbangan barangan kembali ke sekolah Happy To School di Kampung Rawa, Lenggeng, Seremban hari ini. Dalam majlis tersebut Risda memohon tiga negara pengeluar utama perlu sepakat kawal harga getah. -UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiga negara pengeluar getah asli utama iaitu Indonesia, Thailand dan Malaysia perlu mengambil langkah bersama bagi mengawal harga komoditi tersebut di pasaran antarabangsa.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, kerjasama menerusi International Tripartite Rubber Council (ITRC) itu perlu bagi memastikan supaya tidak berlaku lambakan pengeluaran getah asli di pasaran.

Menurut beliau, menerusi langkah bersama, harga getah asli di pasaran dapat dipertingkatkan sekali gus membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.

“Ada negara-negara melakukan lambakan getah di pasaran sehingga harga turun, kos tenaga buruh kita berbanding mereka adalah berbeza dan taraf hidup di negara ini tentunya lebih tinggi.

“Tiga negara ini perlu memikirkan langkah supaya pengeluaran getah dikawal secara bersama dan cara ini boleh mengelakkan  lambakan yang akhirnya getah sintetik menguasai pasaran.

“Saya sudah maklumkan kepada pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, supaya tiga negara ini berbincang untuk tentukan harga kebolehpasaran iaitu minimum RM3.50 sekilogram bagi membolehkan pendapatan seisi rumah yang mempunyai kebun seluas 1.9 hektar boleh mencapai pendapatan minimum RM3,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas menyampaikan sumbangan barangan kembali ke sekolah menerusi program Happy To School di Kampung Rawa, Lenggeng di sini hari ini.

Turut  hadir  Pengarah Risda Negeri Sembilan, Muhammad Rizal Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Rawa, Zool Amali Hussin.

Pada majlis tersebut seramai 100 pelajar asnaf yang melibatkan 13 buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng menerima barangan keperluan sekolah termasuk pakaian dan beg sekolah.

Sementara itu, Mohd. Salim berkata, Risda pada tahun ini memperuntukkan sebanyak RM18.1 juta bagi pelaksanaan projek pembangunan menyediakan kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas di 8,260 hektar kebun getah matang dan sebanyak RM32.2 juta bagi 829 hektar kebun getah muda di seluruh negara.

“Risda Negeri Sembilan diperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi projek-projek pembangunan infrastruktur melibatkan seluas 1,575 hektar kebun getah matang dan RM1.98 juta bagi  830 hektar kebun getah muda.

“Bagaimanapun, Risda akan memberikan keutamaan di kawasan yang terkesan dengan banjir baru-baru ini dengan fokus utama memastikan operasi di kebun berjalan lancar dan menyumbang kepada peningkatan produktiviti secara berterusan,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya