SHAH ALAM: Mangsa banjir yang menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) perlu menepati masa pada hari janji temu ditetapkan di lokasi masing-masing bagi mengelakkan berlaku kesesakan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kesesakan berlaku turut disebabkan oleh kebanyakan penerima mahu menerima bantuan secara tunai selain datang lebih awal berbanding masa ditetapkan.
“Namun majoriti pemohon memilih untuk datang mengambil tunai dan ini menyebabkan barisan yang panjang di tempat yang disediakan. Keadaan menjadi sukar dikawal berikutan majoriti penduduk memilih untuk hadir lebih awal.
“Saya memohon agar pemohon yang masih belum menerima BSB untuk menepati waktu janji temu yang ditetapkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirim kepada pemohon secara terus. Hadirlah pada hari dan masa yang diberi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, penerima juga diberi pilihan oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) untuk sama ada menerima tunai atau pemberian melalui akaun bank mereka.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 1,000 penerima BSB daripada kerajaan negeri dan BWI daripada Kerajaan Pusat menyerbu Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama semalam.
Pegawai Daerah Klang, Faizal Abdul Raji berkata, pihaknya menetapkan waktu untuk penerima kedua bantuan bermula pukul 3 petang hingga 8.30 malam.
Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Selangor, memaklumkan hampir 14,000 mangsa banjir menerima BWI dan BSB di lima kawasan iaitu di Kompleks Sukan Pandamaran Majlis Perbandaran Klang (MPK), Klang; Dewan Sri Kerayong, Kapar; Dewan Serbaguna PTD, Klang; Dewan MBSA Kemuning Utama, Shah Alam dan Dewan Kilat TNB, Jalan Kapar. UTUSAN