Tangguh, batal PT3 tahun ini - NUTP - Utusan Malaysia

Tangguh, batal PT3 tahun ini – NUTP

Kerajaan digesa segera mewartakan skop tugas guru secara hitam putih.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) wajar ditangguhkan berikutan kemelut yang sedang dihadapi pelajar tingkatan tiga ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang menjelaskan, penangguhan itu penting kerana pelajar tingkatan tiga telah keciciran pelajaran apabila hanya belajar selama beberapa bulan pada 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19.

Katanya, keputusan itu tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru tanpa mengambil kira sama ada pelajar tingkatan tiga berada dalam keadaan yang benar-benar sesuai dan bersedia untuk menjalani PT3.

“Sebab itu, Kementerian Pendidikan belum membuat keputusan, mereka perlu mendapat maklum balas dari sekolah-sekolah dan membuat kajian keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Mereka juga perlu mengenal pasti sejauh mana keciciran pelajar ketika ini, sedangkan penilaian PT3 ini adalah menyeluruh. Jadi, kami menyokong jika PT3 ini dibatalkan atau ditangguhkan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang mengakui pihaknya belum membuat keputusan rasmi berkaitan pelaksanaan PT3 tahun ini.

Katanya, kementerian sedang meneliti pendekatan sesuai berkaitan PT3 dengan mengambil kira tahap penguasaan pelajar.

Bagaimanapun, Aminuddin berpendapat, jika Kementerian Pendidikan tetap mahu melaksanakan PT3 tahun ini, tempoh untuk melengkapkan silibus tingkatan tiga juga perlu diambil kira.

“Kementerian perlu mengambil kira tempoh singkat yang ada pada pelajar tingkatan tiga, sekolah akan mula dibuka pada 21 Mac, itu sudah hujung bulan dan akan berakhir pada Oktober, jadi tidak adil kepada pelajar tingkatan tiga untuk menghadapi PT3,” katanya.

Ditanya sama ada sistem Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) tidak cukup bagus untuk menilai pelajar Tingkatan Tiga sehingga wujud cadangan supaya PT3 diperkenal semula, Aminuddin bagaimanapun kurang bersetuju.

“Kemasukan pelajar ke sekolah-sekolah seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berjalan dengan lancar walaupun tanpa PT3 untuk dua tahun sebelum ini. Pelaksanaan semula PT3 ini sudah dirancang oleh kementerian tetapi tidak ada kaitan dengan soal kemasukan pelajar,” katanya.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial berhubung pemakluman pelaksanaan PT3 yang akan diadakan semula sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada ibu bapa.

Menerusi maklumat yang tular tersebut, pelaksanaan PT3 akan diadakan semula pada Oktober hingga November ini selari dengan Pemerkasaan PT3 yang tertangguh susulan pembatalan pelaksanaan PT3 bagi 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN