Taktik penipuan 53 operator judi dalam talian terbongkar

Taktik penipuan 53 operator judi dalam talian terbongkar

LIM Meng Seah melihat pemotongan bekalan elektrik dibuat kakitangan TNB dalam serbuan di sebuah premis di Tanjung Kling, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Taktik 53 operator menjual barangan runcit dan telefon bimbit bagi mengaburi kegiatan berkaitan judi dalam talian gagal, selepas polis memberkas kesemua mereka dalam beberapa siri serbuan, sehingga hari ini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, kesemua suspek berusia 16 sehingga 64 tahun itu ditahan dalam serbuan di 23 premis di seluruh negeri ini, sejak Disember tahun lalu. 

Katanya, pemeriksaan di lokasi mendapati, pemilik premis atau dalang telah menggaji operator dengan upah sekitar RM2,000 dan meletakkan pelbagai barangan runcit di hadapan kedai bagi mengaburi aktiviti tersebut. 

“Dalam serbuan dijalankan sejak Disember lalu, seramai 53 operator telah ditangkap atas kesalahan menjual tambah nilai (top up) untuk perjudian dalam talian. Mereka ini cuba berselindung dengan menjual pelbagai barangan runcit seperti roti dan keropok serta membuka kedai telefon bimbit untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas operasi pemotongan bekalan elektrik sebuah premis di Tanjung Kling, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, dalam operasi dilaksanakan bermula pukul 9 pagi tadi, kesemua 23 premis terlibat telah dipotong bekalan elektrik bagi mengelak pemilik melakukan kegiatan sama. 

“Dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), hari ini kita telah memotong bekalan elektrik 23 premis yang terlibat. Mengikut pecahan, terdapat 10 buah premis di Melaka Tengah, lapan di Alor Gajah dan lima dalam daerah Jasin,” katanya. 

Ujarnya, tindakan pemotongan bekalan elektrik itu dibuat mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi terbuka 1953 (Pindaan 2001). Untuk rekod sebanyak 96 premis telah dikenakan pemotongan atas kesalahan sama pada tahun lalu. 

“Kesemua suspek yang ditahan dalam serbuan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (c) dan 4A (a) Akta Rumah Judi terbuka 1953 dengan setakat ini 23 kertas siasatan telah dibuka,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN