BERMULA sekadar membuat kajian mengenai cendawan kukur atau sisir untuk projek pengajian ijazah doktor falsafah (PhD), siapa sangka usaha Siti Aminah Mohd Hassan, 37, dan suaminya, Mohd Amin Zainal Abidin, 36, itu membawa pulangan lebih besar.
Pasangan tersebut kini menjadi salah satu pengeluar benih cendawan di negara ini.
Perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan di rumah mereka itu bermula pada 2018 apabila Siti Aminah yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melakukan kajian mengenai cendawan kukur dan dalam masa yang sama mengambil peluang untuk berjinak-jinak dalam perniagaan tersebut.
Mohd Amin yang ketika itu bertugas sebagai penolong pengurus sebuah anak syarikat agensi kerajaan di Kedah juga bersama-sama mengusahakan syarikat Beseri Mushroom Spawn Lab untuk penghasilan benih cendawan dan Beseri Mushroom Farm yang menjual hasil pelbagai jenis cendawan.
TUMPU PERHATIAN
Mohd Amin berkata, dia mengambil keputusan berhenti kerja sejak Januari lalu dan menumpukan sepenuh perhatian pada perniagaan tersebut.
“Saya mengambil keputusan untuk menumpukan sepenuh perhatian menghasilkan benih dan juga mengeluarkan cendawan segar yang ketika ini kami jual secara terus kepada pelanggan dan diletakkan di beberapa kedai di sekitar negeri ini.
“Untuk biji benih, kami menjual sebanyak sembilan jenis iaitu cendawan sisir, tiram kelabu, tiram putih, tiram merah jambu, tiram putih kelabu, tiram kuning, telinga kera (black jelly), melati dan tanduk rusa. Ia boleh diperoleh di Facebook iCendawan Kukur Perlis dan di aplikasi Shopee di bawah nama Amin Aminah.
“Selain itu, kami juga ada menjual bongkah untuk menghasilkan cendawan serta menjual hasil sendiri yang lebih tertumpu kepada cendawan kukur dan tiram dengan keseluruhan hasil jualan kira-kira RM5,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di makmalnya yang terletak bersebelahan rumah di Beseri, baru-baru ini.
Tambah Mohd Amin, bagi memastikan penghasilan benih cendawan terbaik dan berkualiti, mereka telah membangunkan makmal sendiri dengan modal RM40,000 pada 2019.
Dalam masa yang sama, mereka juga menerima bantuan peralatan dan bangsal daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sebanyak RM20,000.
“Cendawan kukur adalah jenis cendawan yang agak sukar diperolehi di pasaran berbanding cendawan tiram dan lain-lain. Harganya juga boleh mencecah antara RM50 hingga RM70 sekilogram.
“Kebiasaan cendawan ini tumbuh secara semula jadi di batang kayu getah dan mengikut musim sahaja. Tapi dengan penghasilan benih yang kami lakukan, orang ramai dapat menghasilkan cendawan sisir ini pada bila-bila masa secara organik.
“Biji benih yang kami hasilkan dan dijual adalah daripada benih F1 iaitu daripada generasi pertama. Jadi benih itu lebih kuat dari segi pertumbuhan, kurang risiko jangkitan dan mempunyai hasil yang lebih banyak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Amin memberitahu, walaupun ramai yang mengeluarkan cendawan di negara ini, namun bilangan yang mengeluarkan benih agak kurang.
“Bagi menghasilkan biji benih ia perlu melalui proses penghasilan kultur tisu selama 14 hari. Kemudian apabila terhasil piring patri Fi, ia akan dipindahkan ke medium.
“Medium yang kami gunakan adalah gandum dan jagung untuk dijadikan biji benih. Proses untuk menghasilkan biji benih juga mengambil masa selama 14 hari,” jelasnya.
Tekstur dan aroma
Sementara itu, Mohd. Amin memberitahu, cendawan kukur mempunyai tektur yang kenyal dan aroma yang berbeza berbanding cendawan lain disamping dapat tahan lebih lama iaitu kira-kira sebulan di dalam peti sejuk berbanding dua minggu untuk cendawan tiram.
Menurutnya, ia juga sesuai untuk mereka yang mengamalkan makanan ‘vegetarian’ atau tidak memakan daging kerana tekturnya yang seakan daging.
“Selain itu, apabila ia dikeringkan pula, cendawan ini akan kembali kepada saiz asal apabila direndam di dalam air,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya juga sedang mencari lokasi baharu untuk membesarkan pengeluaran cendawan di samping menjadikannya sebagai salah satu produk agro pelancongan di negeri ini.
“Kami sudah cuba melontarkan idea ini kepada agensi kerajaan yang mempunyai infrastruktur yang boleh kami gunakan. Saya berharap pihak tersebut dapat membantu kami daripada segi lokasi supaya pengeluaran cendawan ini dapat digandakan dan dalam sama infrastruktur mereka juga terjaga oleh kami,” katanya.