PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) menyasarkan jualan sebanyak RM2.6 bilion bagi tahun kewangan 2022 (TK2022) selaras dengan objektif untuk mengubah dan mengembangkan perniagaan pembangunan hartanahnya.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, sasaran itu akan dicapai oleh Kumpulan dengan faktor sokongan seperti peningkatan keupayaan jualan, pelancaran strategik dan kadar faedah yang rendah.
“Bagi tahun ini, kami melihat nilai pelancaran pembangunan baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.8 bilion merangkumi produk campuran dengan 97 peratus daripadanya ialah pembangunan tanah kediaman, bangunan tinggi dan perindustrian, disokong oleh rancangan pelancaran yang teliti dan berdaya maju.
“Kami turut menyasarkan jualan tidak dibil untuk kekal di atas 1.0 kali memandangkan ia berada di paras itu sejak suku ketiga TK2021.
“Sasaran kami untuk margin untung kasar pula ialah sebanyak 20 hingga 25 peratus didorong oleh disiplin kewangan yang kukuh.
“Bagi suku pertama tahun ini, kami menyasarkan sebanyak 1,096 unit akan dilancarkan dengan GDV sebanyak RM788.1 juta,” katanya dalam sidang akhbar secara maya, semalam.
Ujarnya, Kumpulan turut merancang untuk melancarkan lebih banyak kediaman bertingkat dan produk perindustrian, membuka lebih banyak perbandaran dan menjadikan pembangunan perindustrian sebagai pemangkin utama dalam strategi pendapatan Kumpulan.
Mengulas mengenai projek pembangunan Stesen Janakuasa Battersea, di mana Sime Darby Property merupakan antara konsortium pelaburnya, Azmir memberitahu, Stesen Jana Kuasa Fasa 2 dijangka akan dibuka secara rasmi pada September tahun ini, selaras dengan pembukaan Electric Boulevard Fasa 3A.
“Apabila ia dibuka, komponen runcit itu akan menyaksikan sebanyak 40 peruncit dan pengendali makanan dan minuman (F&B),” katanya. – UTUSAN










