Setiap rumah perlu simpan nombor hotline AADK - Utusan Malaysia

Setiap rumah perlu simpan nombor hotline AADK

DR. Hadijah Baba (kanan) menyampaikan risalah berkaitan AADK kepada orang ramai yang beriadah bersama ahli keluarga di Pantai Telok Kemang, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Setiap rumah dan keluarga di Negeri Sembilan disasarkan untuk mempunyai nombor talian utama (hotline) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai salah satu usaha mencegah berlakunya jenayah termasuk menyebabkan kematian berpunca daripada penagihan dadah oleh ahli masyarakat.

Pengarah AADK Negeri Sembilan, Dr. Hadijah Baba berkata, menerusi nombor talian tersebut, orang ramai boleh menghubungi AADK dengan segera sekiranya mendapati bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga mereka tetapi juga jiran tetangga yang mempunyai gejala penyalahgunaan dadah.

Menurut beliau, ia sebagai satu langkah awal bagi mencegah sebelum terjadi perkara yang lebih buruk seperti beberapa kes yang berlaku sebelum ini.

“Kami sasarkan setiap rumah di Negeri Sembilan kalau boleh ada nombor telefon hotline AADK. Ia bukan mengenai keluarga kita sahaja tetapi jiran-jiran yang ada gejala, kita buat aduan, bukan kerana kita mahu jaga tepi kain orang lain tetapi mahu membantu mereka.

“Perhatikan, jika ada perubahan tingkah laku, segera telefon AADK dan kami akan datang, berikan nasihat dan mengambil tindakan sewajarnya. 

“Adalah penting untuk cegah sebelum parah, jangan tunggu sampai berlaku di depan mata kita kejadian sehingga kelar leher dan pukul kerana pada masa itu kami tidak boleh membantu mereka kerana penagih itu telah dikawal oleh dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Walkabout@Telok Kemang Bersama Pengarah AADK Negeri Sembilan di Pantai Telok Kemang di sini hari ini.\

Kempen

Sementara itu, Hadijah memberitahu, program berkenaan adalah salah satu aktiviti sempena Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2022 yang bertemakan ‘Lebih Baik Cegah”

“Menerusi program ini kami bertemu dengan masyarakat dengan fokus di kawasan yang menjadi tempat tumpuan orang ramai dan menyampaikan maklumat tentang penyalahgunaan dadah. Kami fokuskan kepada yang datang bersama ahli keluarga kerana kami juga mahu mereka turut memberikan tumpuan kepada ahli keluarga masing-masing.

“Di Negeri Sembilan, selain di Pantai Telok Kemang, program serupa turut diadakan di Taman Tasik Seremban, Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di Seremban dan kawasan rekreasi Ulu Bendul di Kuala Pilah,” katanya.

Talian hotline AADK yang boleh dihubungi ialah 03-89112233 ataupun menerusi aplikasi WhatsApp iaitu 019-6262233. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya