ALOR SETAR: Seorang lelaki warga tempatan dan 19 lelaki warga Myanmar ditahan disyaki terlibat dalam kes penyeludupan imigran ke negara ini di Bukit Kayu Hitam di sini Jumaat lepas.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, tangkapan susulan daripada intipan sepasukan polis dari skuad Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Bukit Kayu Hitam pada pukul 8.10 malam di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam dekat sini.
“Semasa intipan dijalankan, dikesan sebuah van berwarna putih berhenti di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan. Kemudian, muncul beberapa orang asing dari dalam semak secara tergesa-gesa masuk ke dalam van itu.
“Van itu kemudian memecut laju ke jalan besar dan pasukan serbuan berjaya menahan van itu di Kilometer 45 Lebuh Raya Utara – Selatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun disyaki melakukan aktiviti menyeludup imigran.
“Sementara itu, sebanyak 19 lelaki warga Myanmar berusia 20-an hingga 40-an ketika diperiksa tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek pemandu van itu kini direman di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan sehingga 12 Mac ini.
“Manakala kesemua suspek warga Myanmar itu direman di bawah Seksyen 51 (1) (5) (b) Imigresen 1959/63 selama 14 hari.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipermerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun,” katanya. –UTUSAN ONLINE










