MELAKA: Kerajaan Pusat diminta mempertimbangkan cadangan bagi membuka semula pintu sempadan negara untuk membolehkan sektor pelancongan kesihatan kembali beroperasi di Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, dianggarkan sejuta rakyat Indonesia menyatakan hasrat ingin mendapatkan rawatan di beberapa hospital di negeri ini.
Menurutnya, perkara tersebut disuarakan sewaktu beliau melakukan lawatan kerja selama seminggu ke Jakarta pada 6 Februari lalu.
“Permintaan untuk masuk ke Melaka bagi sektor kesihatan cukup tinggi dan saya boleh jamin jika pintu sempadan negara dibuka, dianggarkan sejuta pesakit dari Indonesia ingin mendapatkan rawatan di Melaka. Salah satu sebab permintaan tinggi berikutan kenaikan kos rawatan di negara itu sejak pandemik Covid-19 telah mendorong mereka ingin menjalani rawatan di sini memandangkan ia jauh lebih murah.
“Saya juga dimaklumkan, hasil pertemuan dengan beberapa Gabenor Wilayah dan Ketua Walikota, ramai rakyat negara itu sedia mematuhi apa sahaja prosedur operasi standard (SOP) asalkan mereka dapat membuat rawatan,” katanya selepas menghadiri sidang akhbar Teater Muzikal Ali Baba 2022 di Mini Auditorium Tun Seri Lanang, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka.
Yang turut hadir Pengarah JKKN, Ezlina Alias: barisan pelakon, Ashraff Muslim, Najwa P. Ramlee dan Pengarah teater, Lokman Ghani.
Muhammad Jailani berkata, ada dalam kalangan rakyat Indonesia masih menyimpan tiket penerbangan dan feri untuk mendapat rawatan, namun terhalang ekoran pandemik.
“Rata-rata mereka sangat mengharapkan pintu sempadan negara dibuka semula bagi mereka menjalani rawatan di negeri ini. Indonesia adalah negara keempat menyumbang kepada sektor pelancongan apabila dianggarkan seramai 700,000 pelancong datang mengunjungi negeri ini setiap tahun,” katanya. – UTUSAN