KUCHING: Sarawak bakal menjadi ‘Bateri’ ASEAN, iaitu sebuah kuasa tenaga boleh diperbaharui serantau apabila berjaya merealisasikan Grid Borneo.
Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sejak 2016 Sarawak telah mengeksport tenaga elektrik boleh diperbaharui ke Kalimantan Barat dan dalam masa terdekat akan memulakan eksport tenaga ke Sabah dan seterusnya merealisasikan Grid Borneo dan menjadi bateri’ ASEAN.
“Projek Kalimantan Utara kami juga sedang berjalan dengan baik dan sedang menunggu keputusan muktamad pelaburan.
“Apabila projek ini direalisasikan ia akan memberi sumbangan yang besar kepada kebolehpercayaan bekalan serantau, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran,” kata beliau pada Centenary Townhall Sarawak Energy di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Beliau menambah, melalui sektor tenaga boleh diperbaharui, Sarawak juga berhasrat untuk mencapai kelestarian pertumbuhan dan kemakmuran dengan menjadi kuasa besar ASEAN, menyediakan wilayah ini dengan tenaga ada harga berpatutan, boleh dipercayai dan boleh diperbaharui.
“Saya yakin kita boleh mencapai sasaran ini memandangkan kita memiliki banyak tenaga hidro yang boleh diperbaharui dan juga sumber asli.
“Sebagai pembekal tenaga utama di Sarawak dan pemaju tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia, Sarawak Energy telah dan akan terus memainkan peranan penting dalam memacu transformasi besar yang bermanfaat untuk negeri ini,” katanya.
Mengenai pembangunan tenaga hidro sebagai pemangkin untuk Koridor Sarawak Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE), Abang Johari berkata Ia boleh menarik pelaburan dari dalam dan luar negeri.
Katanya, pelaburan di SCORE telah mewujudkan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk rakyat dan meningkatkan taraf ekonomi rakyat negeri ini.
“Pembangunan tenaga hidro dengan sendirinya juga telah memberikan banyak faedah sosio ekonomi kepada rakyat, terutamanya dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Katanya, memandangkan loji-loji kuasa hidro berada di kawasan luar bandar Sarawak dan ini membuka laluan akses kepada kemudahan elektrik untuk penduduk di luar bandar.
Beliau percaya dengan usaha berterusan dan bersepadu Sarawak akan mencapai sasaran kadar bekalan elektrik domestik 100 peratus menjelang 2025, berbanding dengan 2009 apabila kadar nya di luar bandar hanya pada 56 peratus dan hari ini kira-kira 97 peratus komuniti luar bandar mempunyai akses kepada bekalan elektrik termasuk sistem tenaga solar dan mikro hidro. UTUSAN