ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diingatkan supaya sentiasa tahu untuk menjaga mulut dan tidak bercakap sesuka hati kerana perbuatan itu mampu menjadi antara faktor ketidakstabilan sesebuah kerajaan.
Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sebagai Menteri Besar dari sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, Muhammad Sanusi sepatutnya berpolitik secara matang dengan berpandukan Islam sebenar.
Justeru katanya, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu perlu mengelak daripada meniru acuan Pakatan Harapan (PH) yang selama ini menanam kebencian, pembohongan dan tipu helah bagi mencapai kemenangan di pentas politik.
“Saya akui kerajaan negeri ini kini stabil kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) lebih rasional, tidak mudah melatah, tidak bersikap khianat untuk menekan butang serta lebih mementingkan kestabilan politik demi memajukan Kedah. Namun saya yakin pendirian UMNO dan BN di Kedah ini mungkin akan berubah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) setelah melihat Pas seolah-olah tidak lagi memperkukuh sebaliknya berusaha meruntuhkan Muafakat Nasional (MN),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Syed Johan berkata, beliau mempertikaikan dakwaan Muhammad Sanusi sebelum ini yang mendakwa kestabilan politik di Malaysia dan negeri-negeri di dalamnya akan wujud sekiranya UMNO memiliki jumlah kerusi yang sedikit, hingga tidak mampu menjejaskan kerajaan walaupun mereka menarik sokongan.
“Sebagai seorang pemimpin dari parti Islam, beliau harus berkata benar untuk memberitahu rakyat hakikat sebuah kerajaan yang stabil tidak akan tercapai jika jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan dan pembangkang berada dalam kedudukan seri atau cuma berkelebihan satu kerusi saja. Apatah lagi kerajaan itu sering diugut ‘tekan butang’ oleh rakan tadbirnya. Sudah pasti kerajaan tersebut lemah, goyah, tidak efektif serta sukar membuat keputusan. Kecelaruan tindakan dasar akan membantutkan pentadbiran dan itu menjadi antara faktor terbesar mengapa kerajaan negeri di Melaka serta Johor dibubarkan,” katanya.
Katanya, dakwaan kononnya kerusi UMNO yang sedikit mampu membawa kestabilan politik adalah tidak benar memandangkan kerajaan negeri Pahang tetap stabil ketika BN memiliki 29 kerusi manakala Pas dan PH masing-masing sekadar memperoleh lapan serta sembilan kerusi DUN.
“Jika Muhammad Sanusi mahu menegakkan benang basah, bagaimana jika saya kemukakan teori bahawa kestabilan politik dapat dicapai di Sarawak kerana Pas yang cuma bertanding satu kerusi, tewas 100 peratus. Begitu juga dalam PRN di Melaka baru-baru ini, politiknya stabil setelah Pas yang bertanding lapan kerusi, turut kalah 100 peratus. Maka jika Pas bertanding 56 kerusi di DUN PRN Johor dan kalah 100 peratus, kerajaan juga insya-Allah akan stabil. Setujukah Muhammad Sanusi dengan hipotesis itu?” Soalnya.
Tidak berakhir di situ, Syed Johan berkata, ketidakstabilan politik melibatkan banyak faktor termasuk sikap ‘katak-katak politik’, ugutan rakan tadbir untuk menekan butang, kerjasama tidak ikhlas dan sebagainya.
“Muhammad Sanusi perlu lebih bertanggungjawab dalam kenyataannya kerana kita nak rakyat pilih sebuah kerajaan yang baik serta stabil dan bukannya memilih kerajaan hasil daripada kempen pemimpin berwatak ‘penjual ubat’ di pasar malam,” katanya. – UTUSAN