KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menyarankan kerajaan negeri mengikut jejak langkah Sarawak bagi menukar terma Ketua Menteri kepada Premier.
Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, kelulusan pindaan terma Premier yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meletakkan negeri itu bukan setakat rakan sekutu dengan negeri-negeri lain.
Pindaan itu secara jelas ini menunjukkan status negeri Sarawak menuju ke arah autonomi yang lebih nyata.
Usaha melakukan pindaan terma sebegitu akan meletakkan status Sabah berlainan dengan negeri-negeri yang lain dan ia membolehkan generasi baharu lebih memahami kedudukan Sabah dalam pembentukan Malaysia.
“Justeru, Bersatu Sabah menyarankan kerajaan negeri supaya mengikut tindakan yang diambil di Sarawak.
“Tindakan sebegini dapat merealisasikan harapan bekas pemimpin-pemimpin utama negeri kita seperti Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Allahyarham Tun Fuad Stephen semasa penubuhan Malaysia.
“Kesepakatan pemimpin-pemimpin Sabah harus ditonjolkan dalam isu-isu yang melibatkan hak-hak rakyat Sabah. Kesepakatan yang kuat pastinya boleh menghalang segala anasir luar yang cuba untuk menggugat kestabilan politik negeri kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kemunduran yang berlaku di Sabah disebabkan permainan politik yang terlampau sejak negeri ini mencapai kemerdekaan. Sekarang, pemimpin perlu memberi fokus utama untuk memajukan Sabah demi manfaat rakyat di negeri ini.
Khairul Firdaus berkata, Sabah dan Sarawak adalah tunjang utama pembentukan Malaysia dan pastinya dalam masa-masa yang mendatang mampu menjadi pelopor penyumbang utama ekonomi negara.
Semalam, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 bagi menukar terma Ketua Menteri kepada Premier. –UTUSAN