Tarif AS 25 peratus: Apa tindakan Bank Negara?

Tarif AS 25 peratus: Apa tindakan Bank Negara?

BANK Negara Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengumuman tarif import sebanyak 25 peratus terhadap Malaysia bermula 1 Ogos ini oleh Amerika Syarikat (AS) dijangka mendorong Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) untuk bertindak termasuk kemungkinan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, ini kerana kadar faedah yang lebih rendah dapat membantu merancakkan ekonomi dalam negara untuk meredakan impak negatif yang bakal dirasai dalam eksport negara akibat tarif daripada Presiden AS, Donald Trump.

“Ada kemungkinan OPR turun kali ini. Memandangkan sudah ada jangkaan OPR akan turun bagi memacu pertumbuhan dalam ekonomi. Saya jangka penurunan adalah sebanyak 25 mata asas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kali terakhir OPR berubah adalah apabila dinaikan daripada 2.75 peratus kepada 3.0 peratus pada Mei 2023.

Beliau berkata, tarif Trump dijangka memberi kesan drastik memandangkan ia lebih tinggi berbanding tarif yang diumumkan pada April lalu iaitu pada 24 peratus.

Katanya, pada tarif 24 peratus, kesan kepada eksport boleh turun sebanyak 32 peratus dan kini ia boleh turun kepada 35 peratus apabila tarif telah dinaikkan kepada 25 peratus.

“Gangguan kepada eksport negara seterusnya akan membawa kesan pengurungan guna tenaga dan inflasi pula akan meningkat,” ujarnya.

Barjoyai yang menjangkakan sektor solar dan elektrik dan elektronik (E&E) akan terkesan dengan tarif ini berharap Trump ingat pada kenyataannya untuk mahu kecualikan sektor semikonduktor.

“Kalau dia ingat, maka 60 peratus sektor pengeluaran di sektor perkilangan kita tidak akan terganggu. Malaysia haruslah meneruskan usaha rundingan dengan kerajaan AS dan menekankan bahawa Malaysia adalah rakan kongsi penting bagi negara itu. Malaysia adalah pengeluar cip mikro keenam terbesar di dunia,” jelasnya.

AS menjadi antara rakan dagangan utama Malaysia dengan nilai eksport sekitar RM198.6 bilion tahun lalu atau 13.2 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport negara, manakala nilai import keluaran AS ke Malaysia pula lebih rendah dengan RM126.3 bilion pada 2024 bersamaan 9.2 peratus daripada keseluruhan import negara.

Ia menjadikan lebihan dagangan Malaysia berjumlah RM72.3 bilion.

Sementara itu, pakar Ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, sekiranya rundingan perdagangan gagal mencapai kata sepakat, risiko tindakan balas oleh negara-negara terlibat akan menambahkan lagi ketidaktentuan pasaran.

“Bursa Malaysia dan saham syarikat pengeksport berorientasikan pasaran AS dijangka akan berdepan tekanan, khususnya melibatkan sektor elektronik dan komponen, sekiranya permintaan dari AS merosot selepas tarif mula berkuat kuasa.

“Dana dagangan bursa (ETF) yang menjejak prestasi saham Asia turut terkesan, termasuk ETF Malaysia yang mencatat penurunan hampir dua peratus,” katanya.

Abu Sofian berkata, ringgit dijangka bergerak dalam julat RM4.23 hingga RM4.25 dalam jangka terdekat, dengan tekanan luaran termasuk pengukuhan Indeks Dolar AS terus mempengaruhi prestasi mata wang serantau.

Semalam, Bursa Malaysia ditutup rendah 7.40 mata kepada 1,530.14 berbanding berbanding 1537.54 pada penutup Isnin, manakala ringgit pula berada pada paras 4.2400/2450 berbanding dolar AS pada pukul 5 petang berbanding 4.2380/2440 pada petang kelmarin.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kesan tarif sebenarnya lebih banyak ditanggung oleh pengguna dan perniagaan AS sendiri.

“Sebagai contoh, tarif terhadap barangan dari United Kingdom (UK) meningkat kepada 10 peratus dan dari Vietnam kepada 20 peratus, manakala Malaysia kini berdepan kadar tarif 25 peratus.

Namun beban kos ini akhirnya dipindahkan kepada pembeli di AS.

“Hakikatnya, eksport Malaysia tidak kehilangan daya saing kerana negara ini masih berada dalam kelompok pengeksport utama ke AS seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan yang turut dikenakan tarif import serupa,” ujarnya.

Sementara itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan menyatakan akan meneruskan perbincangan dengan rakan sejawatannya di AS dengan hasrat untuk menangani isu tertunggak, menjelaskan skop dan kesan tarif yang diumumkan serta mencari jalan untuk menyelesaikan rundingan pada masa yang sesuai.

Trump semasa mengumumkan tarif kemas kini itu berkata, langkah yang diambil adalah untuk ‘melindungi industri tempatan AS’ daripada apa yang beliau sifatkan sebagai amalan perdagangan tidak adil oleh beberapa negara.

“Kita tidak boleh lagi membiarkan negara lain mengambil kesempatan terhadap kita. Mulai 1 Ogos, semua import dari Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus,” katanya dalam satu surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikongsi dalam laman Truth Social, milik Trump Media & Technology Group. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×