GEORGETOWN: Parti Gerakan menggesa pembentangan rang undang-undang (RUU) anti lompat parti disegerakan bagi memastikan pergolakan politik dalam negara dapat diselesaikan.
Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, parti itu sentiasa konsisten dengan pendirian berkaitan RUU anti lompat parti sejak dahulu.
“Pembentangan RUU anti lompat parti akan menstabilkan politik negara kita pada masa depan. Ia juga dapat memastikan keharmonian dan ketenteraman negara kita dengan syarat dilaksanakan dengan baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yakin RUU anti lompat parti yang bakal dibawa ke Dewan Rakyat kelak akan diluluskan berdasarkan maklum balas yang diterima menerusi sesi libat urus diadakan.
Wan Junaidi berkata, sesi itu yang diadakan bersama ramai pihak berkepentingan termasuk ahli parlimen, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin parti mendapat 7,000 maklum balas untuk dianalisis.
Menurut Tong Keong, keadaan pandemik Covid-19 akan pulih jika keadaan politik menjadi stabil dan wakil rakyat menjalankan tanggungjawab membantu rakyat dengan ikhlas.
“Calon yang berjaya mendapat mandat daripada rakyat seharusnya memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat di kawasan masing-masing.
“Bagaimanapun, wakil rakyat yang gemar melompat parti kerana lebih fokus dalam meraih kepentingan peribadi dan melakukan sesuatu yang membelakangi rakyat akan menyebabkan ketidakstabilan politik di negara kita,” katanya.
Tambahnya, parti itu mengalu-alukan cadangan pembentangan RUU anti lompat parti di Parlimen dan mengharapkan kecelaruan politik di negara kita dapat diselesaikan dengan sepenuhnya. – UTUSAN