KANGAR: Sebanyak RM10.27 juta nilai kompaun direkodkan membabitkan kesalahan mengabaikan pekerja oleh majikan sepanjang setahun dari 2 Februari 2021 hingga 15 Februari tahun ini.
Antara kesalahan dilakukan majikan ialah di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446) ialah tiada perakuan penginapan dan masih belum membuat sebarang permohonan kepada Jabatan Tenaga Kerja selain kebersihan serta keselamatan tempat tinggal pekerja.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4.28 juta dikutip melibatkan 1,192 kertas siasatan di bawah Akta 446 berkait pelbagai kesalahan termasuk 135 kes yang telah didakwa di mahkamah melibatkan denda hampir RM1 juta.
Kesemua tindakan pematuhan itu dilakukan menerusi 40,597 pemeriksaan ke atas majikan yang telah dilaksanakan di 171,420 buah penginapan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kebanyakan kesalahan dilakukan ialah pelanggaran di bawah Seksyen 24D Akta 446 kerana menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
“Selain itu, kesalahan lain ialah tidak mematuhi kehendak minimum atau tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja mengikut Peraturan 3 dan 4 di bawah Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.
“Hukuman bagi kesemua kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000,” katanya sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 446 dan Pematuhan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di beberapa lokasi sekitar negeri ini.
Turut sama dalam operasi tersebut adalah agensi dibawah Kementerian Sumber Manusia seperti JTK, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Jabatan Kesihatan Perlis.
Tambah Awang, pihaknya turut menerima hampir 14,939 aduan daripada pekerja menerusi aplikasi Working for Workers (WfW) dengan kes gaji tidak dibayar atau lewat dibayar mencatat aduan tertinggi sebanyak 4,661 kes.
Katanya, manakala aduan terhadap majikan melakukan pemotongan upah tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan sebanyak 1,394 kes.
Dalam pada itu, Awang memaklumkan, sebanyak 12,675 premis dan tempat pekerjaan diperiksa JTK serta JKKP dengan 556 kompaun berjumlah RM4.91 juta dikeluarkan di bawah Akta 342 di sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, pertanian dan lain-lain.
“Kita akan terus memperkukuhkan penguatkuasaan Akta 446 dan 342 yang perlu dipatuhi semua sektor berkaitan dan menjadi keperluan selaras dengan kebenaran penggajian pekerja asing.
“Seperti semua maklum, permohonan tenaga kerja asing dalam sektor perladangan telah dibuka pada 28 Januari manakala bagi lain-lain sektor telah dibuka pada 15 Februari. Pematuhan kedua-dua akta ini perlu agar kebajikan pekerja terjaga selain penyediaan kemudahan dalam aspek perumahan dan penginapan perlu dititik beratkan,” katanya. – UTUSAN