Projek ladang 75,440 pokok kelapa di Pekan perlu ulasan EIA - Utusan Malaysia

Projek ladang 75,440 pokok kelapa di Pekan perlu ulasan EIA

Jabatan Alam Sekitar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) meminta  pandangan awam untuk ulasan laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) bagi projek ladang kelapa di Daerah Pekan, Pahang melibatkan anggaran penanaman 75,440 pokok dalam kawasan berkeluasan 414.398 hektar.

 Lokasi ladang komoditi yang bakal diusahakan oleh syarikat tempatan, Dataran Budiman Sdn. Bhd. itu terletak di Mukim Bebar di bawah pentadbiran pihak berkuasa Majlis Daerah Pekan.

 “Cadangan projek akan ada impak positif dan negatif terhadap alam sekeliling. Langkah mitigasi dikenal pasti dan diperincikan dalam laporan EIA oleh pemajunya,” kata  hantaran JAS di laman sosialnya.

 Sehubungan itu, orang ramai  dialu-alukan memberi ulasan secara bertulis ke atas laporan itu dengan diaju kepada Perpustakaan Ibu Pejabat JAS di Wisma Sumber Asli, Putrajaya atau boleh diserahkan terus kepada Perpustakaan JAS Negeri Pahang selain pihak Majlis Daerah Pekan itu sendiri.

 JAS memaklumkan bahawa laporan eksekutif dan EIA itu boleh dimuat naik daripada kod QR https://qrco.de/bcirBm manakala ulasan berkenaan perlu dikemuka sebelum 25 Mac depan.

 “Projek ini membabitkan penanaman hanya dua jenis pokok kelapa iaitu kacukan matag dan ‘aromatic green dwarf’ yang juga dikenali sebagai kelapa pandan kerdil,” tambah agensi itu.

 Spesies ini lazimnya dianggap sebagai pokok serba boleh kerana kepelbagaian kegunaan daripada makanan sehingga kosmetik serta ada nilai tinggi untuk produk rumah dan industri.

 Konsep sifar pembakaran terbuka akan dilaksanakan pemaju dan setiap fasa pelaksanaan projek ada langkah mitigasi bagi meminimum kesan ke atas alam sekitar.

 Kaedah ladang itu jelasnya, melibatkan penanaman pokok dalam bentuk sistem ‘equilateral triangular’ dengan objektif untuk mengorientasikan barisan bagi cahaya matahari maksimum.

 “Sisa biojisim yang terhasil daripada tanaman itu dan pokok renek ekoran pembersihan tanah akan disusun rapi dan ditimbus serta dibiarkan reput secara semula jadi,” terang JAS lagi.

 Malahan agensi itu menambah, cadangan projek ini dijangka meningkatkan lagi kemajuan ekonomi kawasan setempat menerusi penyediaan banyak peluang pekerjaan selain pembangunan prasarana selaras matlamat Rancangan Tempatan Daerah Pekan untuk mengembangkan sektor pertanian dalam rangka kerja sektor huluan.

 KR Pro Alam Consultants dilantik sebagai perunding EIA untuk projek ini dengan pegawai yang boleh dihubungi iaitu Dr. Nurul Ruhayu Mohd. Rosli melalui talian 019-4706781.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya