PRN Johor: Peniaga jangan ambil kesempatan 

PRN Johor: Peniaga jangan ambil kesempatan 

ROSOL Wahid (kiri) ketika hadir membuat tinjauan kebersediaan barangan keperluan pengguna di kawasan luar bandar di Pasar Raya BS Freshmart Bukit Goh di Kampung Padang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Peniaga dan pengusaha kedai makan diingatkan tidak mengambil kesempatan menaikkan kadar harga makanan serta barangan sewenang-wenangnya ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pemantauan dilaksanakan dari masa ke semasa bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang mana  jika didapati berlaku, tindakan pencatutan diambil.

Menurutnya, dalam tempoh PRN itu nanti berkemungkinan terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengaut keuntungan.

“Pihak kementerian sentiasa membuat pemantauan, sama ada PRN atau tidak tugas kita sama dalam membuat penguatkuasaan dan pemeriksaan bagi mengelak kenaikan harga melampau.

“Jadi pengguna diminta membuat aduan jika ada berlaku kenaikan harga makanan mendadak, bila adanya aduan ia memudahkan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyiasat dan mengenakan kompaun jika harga makanan atau barangan yang dikenakan kepada pengguna tidak munasabah.

“Sepertimana PRN di Melaka juga, ada pegawai yang dihantar membuat pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan pengguna tidak teraniaya,” katanya dalam sidang akhbar selepas program tinjauan kebersediaan barangan keperluan pengguna di kawasan luar bandar di Pasar Raya BS Freshmart Bukit Goh di Kampung Padang, di sini hari ini.

Beberapa hari lalu, terdapat pelbagai dakwaan bahawa pengguna bakal berdepan dengan kenaikan harga makanan yang mendadak disebabkan oleh PRN di Johor. Pengguna mendakwa trend kenaikan harga makanan berlaku setiap kali berdepan dengan musim pilihan raya.

Mengulas lanjut dakwaan itu, Rosol meminta peniaga dan pengusaha makanan di Johor supaya tidak menekan dan mengambil kesempatan terhadap pengguna ketika musim PRN berlangsung.

“Semua rakyat sedang susah dan pendapatan juga terkesan bukan sahaja disebabkan pandemik Covid-19 tetapi diikuti pula dengan musibah banjir. Kita sebagai Keluarga Malaysia patut sesama memahami antara satu sama lain dan tidak hanya memikir untuk mengaut keuntungan secara berlebihan,” katanya. 

Sementara itu, Rosol berkata, pihaknya juga ada menerima aduan daripada pengguna berhubung kenaikan harga ayam di kawasan luar bandar.

Katanya, peniaga terpaksa menaikkan harga dengan menggunakan alasan kos logistik yang tinggi terpaksa ditanggung.

“Kita sudah tetapkan harga kawalan bagi ayam adalah RM8.90 sekilogram untuk peruncit namun kita mendapat aduan ada segelintir pihak yang menjualnya sehingga RM11 sekilogram. Peniaga tidak boleh memberi alasan jauh daripada bandar dan kos pengangkutan lebih tinggi kerana harga kawalan yang ditetapkan selepas dibuat kajian terperinci termasuk kos pengangkutan.

“Justeru, peniaga luar bandar adalah dinasihatkan agar tidak menaikkan harga barangan terutamanya keperluan harian termasuk ayam dan telur serta wajib mematuhi segala harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN