ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) yang kini berpecah kepada enam varian DNA membuktikan kebobrokan parti-parti yang tidak sepakat serta mendedahkan niat mereka yang hanya berkiblatkan kuasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac.
Enam parti tersebut didahului Perikatan Nasional (PN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Atas alasan itu, Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pengundi Johor perlu membuat pertimbangan yang bijaksana dalam memilih kerajaan yang terbaik pada PRN ini.
“Pengundi harus memilih kerajaan negeri terbaik. Pentadbiran yang mampu kembali memakmurkan Johor dan segala isinya. Mereka (PH) ini berjuang untuk kepentingan sendiri, bukan untuk sebuah kesejahteraan rakyat negeri Johor.
“Buat Bangsa Johor yang bakal mengundi khususnya anak-anak muda, usah lagi biarkan diri anda tertipu dengan PH dan parti yang berasal daripada DNA yang serupa, cukuplah sekali,” katanya dalam satu kenyataan sini hari ini.
Tambahnya, Barisan Nasional (BN) membariskan 14 calon anak muda daripada 56 calon pada PRN Johor sekali gus membuktikan bahawa gabungan parti amat serius dengan gagasan #kestabilanmasadepan yang berterusan di negeri itu.
Muka baharu
“Selain itu dengan membariskan lebih 70 peratus muka baharu dengan kepelbagaian latar belakang membuktikan konsistensi BN mempersembahkan rejunivasi parti untuk kembali menjadi pilihan utama pengundi bangsa Johor,” katanya.
Tambah beliau, tawaran BN dengan kembali membariskan Datuk Hasni Mohamad selaku ‘budak poster’ BN sebagai calon Menteri Besar mendapat perkenan istana Johor.
“Beliau mempunyai faktor ‘wow’ tersendiri didokong pasukan yang terangkum dari pelbagai latarbelakang, berintegriti, berpengalaman dan beridealisme baharu penuh kharisma adalah kombinasi terbaik,” ujarnya.
Jelasnya, BN termasuk sayap parti ini bagaimanapun tidak akan memandang mudah PRN Johor sebaliknya fokus bagi menjejak dan memenangi hati 750,000 pengundi 18 tahun.
“Pengundi 18 tahun ini automatik yang bakal mengundi buat kali pertama dalam edisi pilihan raya yang penuh dinamika pada 12 Mac nanti.
“Kita akan turun dengan jentera “full force” dari seluruh negara di setiap pusat daerah mengundi (PDM) seluruh Johor dengan misi menyakinkan mereka bahawa Johor amat memerlukan kestabilan politik dan hanya BN yang mampu memberikannya.
“Ini bukan retorik dan omongan kosong tapi kita punyai landasan rekod yang mendukung cita cita ini,” katanya.- UTUSAN