PRN Johor: Najib yakin calon MCA mampu lakar kejutan - Utusan Malaysia

PRN Johor: Najib yakin calon MCA mampu lakar kejutan

NAJIB Razak (dua kiri) bersama Tan Hiang Kee (kanan) menyantuni masyarakat Cina di sekitar Taman Bukit Indah, Perling di Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon MCA diyakini mampu memenangi kawasan yang ditandingi mereka sekiranya sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional (BN) diterjemahkan dalam bentuk undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak berkata, hal itu berdasarkan sambutan menggalakkan diterima pihaknya dalam beberapa lawatan ke kawasan komuniti masyarakat Cina di negeri ini.

“Saya lihat sokongan masyarakat Cina kian meningkat jika dibandingkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kini apa yang diharapkan adalah sokongan itu diterjemah dalam bentuk undi pada 12 Mac ini.

“Sungguhpun demikian, kita tidak boleh terlalu yakin walaupun dalam fikiran nampak BN ada peluang yang baik, sebaliknya kita perlu tumpukan kepada soal pokok dahulu iaitu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pengundi Cina.

“Ini kerana mereka yang dahulunya menyokong DAP berasa marah dan kecewa selepas ditipu Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh 22 bulan mereka mentadbir negara,” katanya kepada pemberita ketika menyantuni komuniti Cina di Taman Bukit Indah, di sini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Tan Hiang Kee.

 

Melakar kejutan

Tambah bekas Perdana Menteri itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan calon BN di kerusi DUN Perling akan melakar kejutan dengan menewaskan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang turut bertanding di kerusi sama.

“DUN Perling calon MCA akan lawan Chin Tong, berdasarkan sambutan yang kita lihat kita tidak tolak kemungkinan akan berlaku kejutan. Ini kerana komuniti Cina sudah serik ditipu, mereka gagal mendapat pembelaan dibawah DAP dan PH.

“Sehubungan itu, saya merayu pengundi Johor termasuklah dalam komuniti Cina untuk sama-sama memberikan sokongan kepada BN dalam PRN ini bagi membolehkan satu kerajaan yang stabil dan mampu membawa masa depan rakyat Johor ke arah lebih baik.

“Rakyat tidak boleh menolak hakikat bahawa jika dibandingkan tempoh pentadbiran kerajaan PH dan BN, kerajaan BN jauh lebih baik,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.