JOHOR BAHRU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan parti dan gabungan politik utama tanah air serta pencabar baharu, termasuk seorang calon bebas.
Enam calon yang telah disahkan bertanding di kerusi itu ialah Amira Aisya Abd. Aziz daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda); Dr. Khairil Anwar Razali (Pejuang); Loh Kah Yong (PN); Steven Choong Shiau Yoon (PBM); Ng Yew Aik (BN) dan Adzrin Adam (bebas).
Perkara itu diumumkan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Kerusi N41 Puteri Wangsa, Syed Zainul Abidin Syed Abdullah selepas tamat tempoh penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Dewan Raya Taman Pelangi Indah, di sini pada pukul 10 pagi tadi.
“Saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak kertas penamaan mereka, dengan ini calon disahkan bertanding adalah seramai enam orang bagi kerusi DUN Puteri Wangsa,” katanya.
Sementara itu, Amira Aisya memberitahu, walaupun berasa gementar namun dia gembira apabila kesemua calon Muda termasuk dirinya telah melepasi proses penamaan calon.
“Saya amat gementar kerana pertama kali saya dan Muda bertanding, namun Alhamdulillah peguam kami dan bantuan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semua calon Muda telah berkata masuk secara rasminya dalam PRN Johor.
“Walaupun saya merupakan calon tunggal wanita di kerusi ini, namun akan berusaha bersungguh-sungguh untuk setaraf atau lebih baik daripada mereka.
“Saya juga berharap agar kesemua calon di kerusi ini akan bertanding secara sihat dengan memaparkan politik matang kepada masyarakat khususnya pengundi Puteri Wangsa,” jelasnya. UTUSAN