TEHERAN: Ketegangan antara Israel dan Iran terus memuncak apabila kedua-dua negara saling melancarkan serangan maut untuk hari keempat berturut-turut tanpa sebarang tanda penamatan konflik.
Terbaharu, Israel didakwa menyerang sasaran awam di Iran termasuk sebuah hospital dan bangunan milik stesen penyiaran negara Iran.
Serangan lewat malam Isnin itu disusuli pula dengan gelombang serangan balas oleh Iran yang melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Tel Aviv dan Haifa, menurut laporan televisyen rasmi Iran.
Di Haifa, sebuah kilang penapisan milik syarikat Bazan dan syarikat-syarikat subsidiari terpaksa ditutup selepas terkena serangan peluru berpandu Iran. Serangan itu mengorbankan tiga nyawa, menurut kenyataan rasmi syarikat berkenaan.
Dalam insiden dramatik yang disiarkan secara langsung oleh televisyen Iran, seorang penyampai terkenal dilihat melarikan diri ketika mengumumkan peluru berpandu sedang menuju ke bangunan stesen tersebut. Letupan berlaku sejurus selepas itu dengan serpihan beterbangan dan laporan awal menyebut terdapat mangsa cedera dalam kalangan petugas media.
Sebelum serangan itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz memberi amaran bahawa saluran penyiaran Iran merupakan lidah propaganda dan hasutan yang menurutnya ‘hampir pupus’ sebelum mengesahkan serangan tersebut dilancarkan oleh pasukan tenteranya.
Sebagai tindak balas, Iran mengeluarkan amaran pemindahan kepada dua saluran berita Israel, N12 dan N14.
“Iran telah mengeluarkan amaran pemindahan kepada saluran N12 dan N14 milik Israel sebagai tindak balas terhadap serangan musuh Zionis ke atas penyiaran negara Iran,” menurut kenyataan TV rasmi Iran.
Iran turut menuduh Israel menyerang sebuah hospital di barat negara itu pada hari sama sambil mengutuk tindakan tersebut sebagai jenayah perang.
“Hospital Farabi di bandar Kermanshah menjadi sasaran serangan agresif rejim Zionis,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei sambil menambah bahawa menyerang hospital dan kawasan kediaman merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas dan satu jenayah perang.
Rakaman video yang dimuat naik di platform tempatan dan disahkan oleh agensi pemeriksa fakta Sanad menunjukkan kesan darah di lokasi kejadian, mengesahkan terdapat mangsa dalam serangan tersebut.










