KUCHING: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menahan dua lelaki disyaki memiliki dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Tabuan Jaya di sini pada Isnin lalu selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Polis (ACP) Ahsmon Bajah berkata, semasa serbuan 10 malam itu, pasukan polis turut merampas dadah jenis ganja yang dianggarkan seberat 204 gram bernilai kira-kira RM2,800 daripada suspek.

Katanya kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 21 tahun didapati positif dadah jenis ganja dan ditahan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.
Ahsmon berkata kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau.
Sementara itu, beliau mengalu-alukan maklumat daripada orang awam berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah. UTUSAN