PN utama anak tempatan sebagai calon

PN utama anak tempatan sebagai calon

SAHRUDIN Jamal (tengah) beramah mesra bersama pengamal media di Hotel Sunway, Big Box Sunway City di Iskandar Puteri, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Perikatan Nasional (PN) meletakkan anak tempatan sebagai keutamaan untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahrudin Jamal berkata, hanya mereka yang benar-benar boleh berkhidmat kepada masyarakat disenarai pendek sebelum dimuktamadkan sepenuhnya menjelang pengumuman esok.

Bekas Menteri Besar itu berkata, PN juga bersedia membariskan calon yang hampir seimbang antara mereka yang berpengalaman, golongan muda dan wanita.

“Kami di PN ada gabungan anak muda, orang berpengalaman dan kita ingin pastikan setiap calon PN merupakan anak tempatan dan mereka yang betul-betul boleh berkhidmat kepada masyarakat.

“Berapa peratus muka baharu pula hanya akan diketahui pada majlis pengumuman calon oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok petang,” katanya pada majlis ramah mesra bersama media di sini, malam tadi.

Satu mesyuarat khas diadakan PN esok di Pulai Spring Resort, Johor Bahru sebelum disusuli dengan pengumuman calon-calon bagi kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dr. Sahrudin berkata, gabungan yang dibentuk antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan itu turut yakin boleh menang dan membentuk kerajaan negeri.

“Apatah lagi kami pernah memerintah, kami ada bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar. Dengan pengalaman yang ada kita yakin dapat mentadbir Johor dan seterusnya Malaysia dengan lebih baik, sempurna, integriti, amanah dan jujur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut yakin akan dicalonkan semula di DUN Bukit Kepong sekali gus mempertahan kerusi tersebut yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Insya-Allah saya cukup yakin saya adalah antara calon yang akan bertanding di Bukit Kepong. Jika saya calon di sana saya yakin kekal boleh menang di sana.

“Sepanjang empat tahun berkhidmat di Bukit Kepong, banyak pembangunan dan program-program saya jalankan berjaya. Kebanyakan masjid dan surau serta semua jenis sekolah saya santuni di kawasan itu terutama untuk membangunkan institusi pendidikan yang penting kepada masyarakat Pagoh,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berkaitan PN menamakan beliau sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan, Dr. Sahrudin berkata, belum masanya beliau mengulas perkara itu.

“Saya tak mahu komen isu calon Menteri Besar, saya mudah dan ikut pandangan atau pun arahan pucuk pimpinan parti serta PN,” katanya.

Pada PRU-14, Dr. Sahruddin menang dengan majoriti 1,271 undi setelah mendapat 11,665 undi mengatasi calon Barisan Nasional, Mohd. Noor Taib (10,392) dan calon Pas, Iqbal Razak (1,761).

Beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri sebelum mengangkat sumpah selaku Menteri Besar Johor ke-17 pada 14 April 2019 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya