PKR umum 20 calon, rundingan bersama Muda ‘tutup pintu’ - Utusan Malaysia

PKR umum 20 calon, rundingan bersama Muda ‘tutup pintu’

ANWAR Ibrahim (lima dari kiri) memperkenalkan tujuh calon PKR bagi Zon Timur dan Zon Tengah di Kampung Kopok, Masai, Pasir Gudang. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: PKR selesai mengumumkan kesemua 20 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekali gus secara rasmi menamatkan rundingan bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menampilkan tujuh calon terakhir parti itu bagi Zon Tengah dan Zon Timur di Dewan Serbaguna Kampung Kopok Baru, di sini hari ini.

Calon itu terdiri daripada Naib Ketua Wanita PKR Johor, Haryati Abu Nasir yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang; Mohd. Zaiful Bakri (Kukup), Rosman Tahir (Tanjung Surat) dan Haniff @Ghazali Hosman (Benut).

Turut dinamakan Ahli Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Omar Mokhtar A. Manap di DUN Johor Lama yang juga calon termuda berusia 29 tahun.

Timbalan Ketua Wanita PKR Johor, Zulinah A. Johari (Tenggaroh) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang yang sebelum ini ahli Parti Amanah Negara (Amanah), Khairuddin A. Rahim di Rengit.

Pengumuman itu juga menamatkan desas-desus adik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari iaitu Aziz yang disebut-sebut bertanding di DUN Benut bagi menentang Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad. 

Sebelum ini, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut mengumumkan 13 calon PKR lain yang akan bertanding pada PRN Johor nanti.

Mereka terdiri daripada Pengerusi PKR Johor, S. Gopalakrishnan (Tiram), Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Fakhruddin Moslim (Pasir Raja) dan Arthur Chiong Sen Sern (Bukit Batu).

Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan (Kempas), Dr. Zamil Najwah Arbain (Larkin) dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik (Layang-layang) turut dicalonkan.  

Isnin lalu, Anwar turut memperkenalkan tujuh calon parti itu bagi kawasan zon Utara iaitu C. Subramani (Buloh Kasap) Yoong Thau (Pemanis); Azmi Masrani (Sri Medan) dan Abdullah Sahid (Sungai Balang).

Turut diumumkan ialah bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar (Semerah); Md Ysahruddin Kusni (Bukit Naning) dan Na’im Jusri (Gambir).

Daripada jumlah itu, hanya tiga calon sahaja akan mempertahankan kerusi dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu Gopalakrishnan, Khuzzan dan Md Ysahruddin manakala majoritinya adalah muka baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya