TAIPING: Satu mesyuarat akan diadakan minggu depan bagi membincangkan isu membabitkan kes tiga anak mualaf yang dikembalikan kepada ibu mereka yang bukan beragama Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, beberapa individu yang melibatkan pakar undang-undang, ahli akademik dan beberapa mufti akan dipanggil untuk menyertai mesyuarat itu.
“Hari Rabu, malam Khamis akan datang saya akan buat perbincangan meja bulat.
“Kita panggil pakar undang-undang daripada pensyarah dan beberapa orang mufti untuk perbincangan mencari penyelesaian isu tersebut,” kata beliau selepas majlis penyampaian sumbangan kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sini hari ini.
Isu pengislaman tiga beradik mualaf yang merupakan anak kepada wanita bukan Islam, Loh Siew Hong menarik perhatian banyak pihak selepas perkara tersebut dibawa ke Mahkamah Tinggi.
Pada 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan tiga beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Siew Hong selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.
Dewan Ulama Pas dalam satu kenyataan menggesa semua pihak agar menghormati hak tiga kanak-kanak yang diislamkan oleh bapa mereka untuk memilih Islam sebagai agama anutan ketiga-tiga anaknya itu.
Sementara itu, mengenai syarat hanya individu lengkap dua dos vaksin dan penerima dos penggalak boleh menunaikan solat Jumaat di masjid seperti yang dilaksanakan kerajaan Selangor, Idris berkata, perkara itu ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.
“Menteri Hal Ehwal Agama hanya sebagai penyelaras atau memberi pandangan sahaja dan bukan arahan,” katanya. – UTUSAN