SERIAN: Seorang penunggang wanita maut di tempat kejadian selepas kenderaan dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Km 60, Jalan Kuching-Serian semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 malam ketika kedua-dua motosikal sedang bergerak menuju ke Balai Ringin dari arah Kuching.
Ketua Polis Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu yang mengesahkan kejadian berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di jejambat bulatan Durian ke Serian.
Katanya, motosikal mangsa merempuh pembahagi jalan sebelum terbabas dan menghempap sebuah lagi motosikal di hadapan.
“Akibatnya, mangsa tercampak ke lorong sebelah dan mengalami kecederaan parah di kepala.
“Mangsa dikenali sebagai Angelee Tijah, 21, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik,” katanya.
Mayat wanita kemudiannya dibawa ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, seorang lagi penunggang motosikal, penunggang penghantar makanan berusia 22 tahun, mengalami kecederaan di lutut dan tangan, turut dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. UTUSAN