BESUT: Seorang peniaga dari Bachok, Kelantan dikhuatiri hilang selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terjunam ke dalam sungai di Jambatan Tembila, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, peniaga terbabit Shukri Wahab, 52, bersama isterinya, Azizah Mohamad Yusof, 51.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki pasangan suami isteri itu dikatakan hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jambatan sebelum terjatuh ke dalam sungai.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke arah Kuala Terengganu dari Kelantan.
“Polis menerima maklumat mengenai kemalangan melibatkan Toyota Hilux di Jambatan Tembila itu pada pukul 7.25 pagi dan sehingga kini kita masih meneruskan pencarian pemandu.
“Penumpang kenderaan itu dapat diselamatkan dan menerima rawatan di Hospital Besut,” katanya dalam kenyataan.
Difahamkan, Azizah ditemukan pasukan penyelamat dan orang awam pada pukul 9.25 pagi ini.- UTUSAN