Penggunaan robotik ditingkat, kurang kebergantungan buruh asing 

Penggunaan robotik ditingkat, kurang kebergantungan buruh asing 

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pelan Hala Tuju Robotik Negara (NRR) akan dibangunkan dalam mengarusperdanakan penggunaan teknologi robotik. 

Perdana Menteri berkata, pelan itu mampu meningkatkan  produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga  buruh asing seterusnya meminimumkan pengaliran mata wang ke luar negara. 

Menurut beliau, kepadatan robot di Malaysia bagi setiap 10,000 pekerja  pada 2019 adalah 55 unit dan sasarannya adalah 195 unit bagi setiap 10,000 pekerja menjelang  2030.  

Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital  dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) kali pertama bagi tahun ini yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Mesyuarat turut bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL untuk memilih projek yang sesuai dan memantau pelaksanaan kerjasama awam-swasta untuk memacu Aspirasi MyDIGITAL.

“Projek Pemangkin dibiayai sektor swasta dan kerajaan akan memainkan peranan sebagai pemudahcara. Antara  contoh projek pemangkin adalah perubatan pintar yang menyasarkan penubuhan hospital menggunakan teknologi 5G bagi meningkatkan taraf  penjagaan kesihatan rakyat. 

“Bandar Pintar menyasarkan pelbagai kes kegunaan berguna bagi memastikan kelestarian kehidupan yang lebih bermakna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak  1.89 juta premis baharu yang diliputi dengan capaian gentian  optik dan sebanyak 1,189 menara 4G baharu dibina dari September 2020 sehingga Disember tahun lalu. 

Kata beliau, di bawah Fasa 1, sebanyak 6.85 juta premis diliputi dengan capaian gentian  optik dan liputan 4G di kawasan berpenduduk mencatatkan 95 peratus setakat akhir tahun lalu.

Beliau menjelaskan, Digital Nasional Berhad (DNB) juga memulakan akses  kepada rangkaian borong 5G yang mana sebanyak 500 tapak 5G  diaktifkan setakat 31 Disember tahun lalu di Putrajaya,  Cyberjaya dan Kuala Lumpur selain menyasarkan  3,500 tapak (bersamaan 36 peratus liputan di kawasan  berpenduduk) pada penghujung tahun ini. 

“Melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil  (PUPUK), sebanyak 883 Pusat Ekonomi Digital Keluarga  Malaysia (PEDi) sedang beroperasi manakala 28 lagi akan  beroperasi menjelang 31 Mac ini di seluruh negara.

“Inisiatif ini menyediakan akses internet kolektif serta program  keusahawanan kepada masyarakat setempat,” katanya.  

Pada masa sama, Ismail Sabri memberitahu, beberapa program telah dan akan dilaksanakan sepanjang bulan ini dan bulan depan bagi meraikan ulang tahun pertama pelancaran  Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) serta pengenalan  MyDIGITAL sebagai satu inisiatif kerajaan untuk mentransformasi  Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi serta peneraju serantau  dalam ekonomi digital.

Antara program itu ialah Technopreneur Industry Dialogue, beberapa  siri dialog anjuran World Bank dan MyDIGITAL Corporation, Program  Transformasi Digital Pasar Siti Khadijah di Kota Baru, Kelantan, Sesi  Perbincangan Meja Bulat mengenai Islamic Digital Technology dan  Program Celik Digital Penjawat Awam. 

 “Keberhasilan MyDIGITAL akan menjadi penentu kejayaan pendigitalan  Keluarga Malaysia seperti yang diharapkan menjelang tahun 2030 nanti,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN