KUALA LUMPUR: Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menjangkakan kadar pengangguran global dijangka kekal pada tahap 207 juta orang pada tahun ini berbanding 186 juta pada 2019.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sekiranya tidak ditangani akan memperdalamkan jurang pendapatan di seluruh dunia. Termasuk Malaysia dan akan melemahkan struktur ekonomi, kewangan dan sosial negara.
Sehubungan itu, kata beliau, dasar-dasar kerajaan bertujuan mengelak kesan jangka panjang terhadap pasaran buruh, pendapatan isi rumah dan perpaduan sosial.
“Ke arah ini, kerajaan telah mengambil langkah proaktif melalui penubuhan Majlis Pekerjaan Negara (NEC) pada tahun lalu.
“Majlis dipengerusikan Perdana Menteri ini sejajar dengan hasrat kerajaan dalam memastikan pemulihan dan rangsangan sektor ekonomi di Malaysia berdasarkan pendekatan menyeluruh. Serta berpandukan data dan sepadan dengan permintaan industri semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sehubungan itu kata Tengku Zafrul, Bajet 2022 menumpukan usaha kepada inisiatif-inisiatif yang akan terus meningkatkan daya saing dan tarikan negara bagi para pelabur.
Katanya, soal itu termasuklah langkah yang akan memudahcara perniagaan serta pelbagai insentif cukai yang secara tidak langsung akan terus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan. Sambil melonjakkan lagi ekonomi negara.
“Melalui inisiatif JaminKerja yang dilancarkan hari ini, Kerajaan telah mengambil semangat konsep jobs guarantee.
“Saya yakin kerajaan akan dapat mengulangi semula kejayaan tahun lalu. Di mana pencapaian telah melebihi sasaran. Hampir 560,000 peluang pekerjaan berjaya dicipta. Berbanding sasaran awal iaitu 500,000 bagi 2021,” katanya.- UTUSAN