KOTA TINGGI: Tiada ungkapan yang dapat menggambarkan perasaan seorang pemuda berketurunan Orang Asli melainkan lafaz perkataan syukur berulang kali setelah menerima rumah baharu.
Pembinaan rumah di bawah Inisiatif Rumah Keluarga Malaysia dibangunkan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) itu ternyata melegakan Mohd. Sazuan Mohd. Said, 24, yang turut menderita masalah buah pinggang.
Ini kerana, berbanding kediamannya sebelum ini, rumah dibina KEJORA di Kampung Belukar Durian, Sedili Kecil, di sini amat selesa untuk dia bersama isteri dan dua anaknya menjalani kehidupan.
“Selain bekerja kampung saya juga mengambil upah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kolam ikan. Saya perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu kerana masalah buah pinggang.
“Dengan pendapatan yang hanya cukup-cukup makan saya tidak pernah sangka dapat tinggal di rumah yang jauh lebih selesa seperti itu. Dengan bantuan KEJORA dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), perkara itu jadi realiti.
“Apatah lagi anak-anak saya juga semakin membesar. Sudah tentu saya mahukan kediaman lebih selesa untuk anak-anak. Syukur KEJORA bantu saya,” katanya.
Mohd. Sazuan berkata demikian selepas menerima replika kunci rumah daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, baru-baru ini.
Bagi penerima kiosk Warung Desa@KEJORA, Othman Jaafar, 40, pula, bantuan diberikan KEJORA memberi kelegaan buatnya. Dia menjalankan perusahaan karipap di Kampung Tengah Layang-layang.
Selain menjual sendiri di hadapan rumah, bapa kepada tiga cahaya mata itu telah enam tahun menyara keluarganya dengan menjual karipap yang dibuat sendiri selain turut menerima tempahan dalam kuantiti yang banyak.
“Alhamdulillah dengan bantuan ini, ia memberikan sinar harapan kepada saya untuk meningkatkan jualan karipap menerusi kiosk yang disediakan pihak KEJORA,” katanya.
Sementara itu, ibu tunggal, Napsiah Abd. Manap, 48, turut bersyukur dengan bantuan diterima melalui Tabung Ladang Berskala Besar (TLBB) yang khusus kepada peserta Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Katanya, bantuan diterima yang boleh digunakan untuk persiapan sambutan hari raya, persekolahan dan kecemasan benar-benar meringankan bebannya yang kini menggalas tanggungjawab membesarkan anak seorang diri.
“Saya membawa e-hailing pada waktu siang, manakala sebelah malam saya menjual burger untuk mencari wang buat keluarga. Syukur kerana dapat bantuan ini sedikit sebanyak membantu lebih-lebih lagi apabila tiba bulan puasa dan raya tidak lama lagi,” katanya.
Bagi Ketua Kampung Contoh Kahang, Kluang, Baharuddin Aman mengakui, KEJORA banyak membantu penduduk kampung menerusi pelbagai program yang dilaksanakan. Ini seperti geran pengurusan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan bantuan membaiki rumah penduduk terjejas banjir yang ternyata melegakan penduduk.

“Penduduk kampung seramai 450 orang yang kebanyakan bekerja di ladang kelapa sawit. Penduduk Kampung Contoh cukup bertuah kerana KEJORA tidak henti-henti menghulurkan pelbagai bantuan selain merangka pelbagai program,” katanya.
Dalam pada itu, KEJORA menerima peruntukan sebanyak RM275,000 bagi tujuan penyaluran geran pentadbiran dan pengurusan JPKK.
Selain itu, KEJORA juga membangunkan perumahan Taman Penawar Harmoni bagi projek Rumah Mampu Biaya. Ini melibatkan nilai keseluruhan pembangunan RM92.9 juta.
Mahdzir berkata, rumah itu dijual pada harga serendah RM42,000; RM80,000; RM150,000 dan maksimum RM170,000.
Ia antara inisiatif KEJORA untuk membolehkan rakyat memiliki rumah di samping PPRT bina baharu atau baik pulih melibatkan nilai RM401,000.
“Bagi baik pulih melibatkan 23 rumah dan sebuah unit dibina baharu. Dalam program Warung Desa KEJORA pula kita beri lima unit gerai atau kiosk melibatkan nilai RM60,000 kepada lima usahawan bimbingan KEJORA,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pemberian sumbangan menerusi TLBB kepada golongan sasar dalam Wilayah KEJORA diteruskan dengan penyerahan dividen tabung itu kepada 96 penerima daripada keluarga B40 di Taman Sinar Sedili melibatkan jumlah RM19,200.
“Justeru, bagi pihak kementerian, terima kasih kepada warga KEJORA yang telah sama-sama berganding bahu demi meningkatkan kecemerlangan agensi ini dalam memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar khususnya wilayah ini,” katanya.











