KUALA TERENGGANU: Pas yakin sokongan pengundi muda mampu membantu Perikatan Nasional (PN) mencipta kejutan dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jangkaan itu berdasarkan sambutan luar biasa golongan belia dalam pelancaran jentera PN negeri, baru-baru ini.
“Agak mengejutkan apabila kita meraih sambutan luar biasa terutama daripada pengundi muda, jadi kita yakin peluang PN kali ini dan diharap lebih baik berbanding sebelumnya.
“Kerjasama kali ini lebih kukuh berbanding di PRN Melaka dan gerak kerja semua parti mendapat sambutan baik daripada orang muda,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek naik taraf parit di sini hari ini.
Sementara itu, Tuan Ibrahim tidak menganggap kehadiran parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memberi tentangan buat PN dalam PRN Johor.
Katanya, pengundi kini tidak melihat kepada sebuah parti semata-mata, sebaliknya gabungan parti berkenaan.
Dalam pada itu, beliau tidak menafikan isu-isu nasional yang hangat termasuk perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh mempengaruhi pola pengundi terutama rakyat di bandar sekali gus memberi kesan kepada keputusan PRN Johor. UTUSAN